fbpx
RITUAL tahunan 30 Hari 30 Resipi Khairul Aming sentiasa menjadi dambaan 'murid-murid' yang mahu belajar penyediaan juadah mudah berbuka namun dalam masa sama medan masing-masing menonjolkan kegagalan yang adakala seperti keterlaluan 'laparkan' notifikasi.

Betapa ‘kelaparan’ mudahnya menipu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUDAH hampir seminggu umat Islam di Malaysia berpuasa, selain kisah segala juadah bazar Ramadan naik harga, apa yang menjadi perbualan ramai tentulah keterujaan khalayak terhadap agenda 30 Hari 30 Resipi Khairul Aming (30H30RKA) yang hadir menjadi fenomena bermusim dan sukar ditahan.

Setiap kali Ramadan menjengah, ruang maya kembali meriah dengan deretan video memasak yang bukan sahaja memancing selera, malah memancing perhatian. Kisah 30H30RKA bukan sekadar siri resipi, tetapi satu ‘ritual’ tahunan yang dinanti-nantikan.

Seronok sebenarnya melihat bagaimana keterujaan itu merentas lapisan usia. Kanak-kanak, ibu-ibu dan malah golongan bujang yang sebelum ini sekadar kenal dapur untuk memanaskan makanan segera, tiba-tiba berani memegang pisau dan kuali, membuat karamel dan menekan mesin pengisar.

Ada rasa kolektif menyenangkan, khalayak tidak sekadar menjadi penonton, tetapi peserta malah pelajar, ketua kelas dan macam-macam gelaran.

Dari sudut ekonomi, keterujaan itu ada asasnya. Harga juadah siap beli semakin mencanak. Kos berbuka di restoran atau bazar bukan lagi dua tiga puluh ringgit. Maka, gerakan ‘buat sendiri’ terasa lebih rasional, lebih marhaen, tidak juga sesukar yang dibayangkan.

Di sebalik gelombang positif itu, wujud sisi lain yang lebih sinis. Tidak semua yang mencuba hadir dengan niat belajar. Ada yang sekadar menunggang arus. Masakan yang hangus, adunan pucat lesi, kuih keras macam batu, semuanya dirakam, disunting dan dimuat naik. Bukan untuk memperbaiki, tetapi untuk mencuri tawa dan simpati – pemeriah suasana.

Lebih menjengkelkan, semakin teruk hasilnya, semakin rancak komen yang ditinggalkan. Harapan paling besar bukanlah untuk kejayaan memasak, tetapi untuk mendapat respons, walau sebaris ayat, terutama daripada Khairul Aming sendiri. Kepuasan bukan lagi pada rasa makanan, tetapi pada rasa ‘diperhatikan’ dan laparkan notifikasi.

Budaya konten memang tidak dapat dipisahkan dengan masyarakat kini namun semakin lama busuknya membusung, Menu mungkin tidak menjadi, tetapi kepura-puraan kebodohan itu yang menjadi-jadi. Asalkan ‘engagement’, algoritma tersenyum. Demi sebuah video, maruah rasa dan usaha menjadi nombor dua.

Apa yang lebih membimbangkan apabila semuanya diukur dengan reaksi, berapa tontonan, berapa komen, berapa pujian. Makanan yang sepatutnya menjadi ruang syukur dan kesederhanaan berubah menjadi bahan eksperimen sosial dan komersial. Kepada Khairul Aming, anda tidak salah. Khalayak yang leka.

Seperkara lagi, keghairahan itu membawa kita kepada persoalan lebih besar tentang Ramadan yang semakin menyerupai pesta. Makanan menjadi pusat graviti.

Di bazar-bazar, gerai-gerai jualan dipenuhi warna-warni juadah. Apa sahaja yang dipamerkan hampir pasti ada pembelinya. Nafsu mata mendahului akal. Ironinya, kelaparan sepanjang hari juga menjadikan pembeli mudah kurang rasional.

Di mana sahaja ada yang lapar, lapar mata sedangkan perut tidak meminta lebih, lapar perhatian sedangkan profil tidak membutuhkan trofi. Manusia sentiasa tertipu oleh kelaparan yang adakala tidak pernah kenyang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN