LENGGONG – Wanita Malaysia yang hidup sebatang kara selama 18 tahun di Lombok, Indonesia mendedahkan masih terdapat ramai lagi perempuan negara ini yang senasib dengannya tetapi tidak dapat pulang kerana kekangan kewangan.
Norida Akmal Ayob, 45, berkata, dia tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai jumlah atau di mana mereka berada, namun mengetahui ada wanita Malaysia yang menderita di sana selepas bernikah dengan lelaki Lombok.
Katanya, seperti dirinya, mereka tidak mampu pulang ke Malaysia kerana prosesnya memerlukan perbelanjaan yang tinggi.
“Faktor utama yang menyebabkan kekal di sana adalah sumber untuk mendapatkan wang amat sulit.
“Saya dan anak bergelut dan berdepan masalah kewangan. Malah mengharapkan simpati penduduk setempat untuk hidup,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Sapi di Lenggong.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan, Norida tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang pada Sabtu lalu setelah 18 tahun menetap di Lombok kerana mengikuti bekas suaminya warga Indonesia bersama anaknya, Nur Fateen Akmadiana, 20, yang ketika itu berusia dua tahun.
Bagaimanapun, Norida berpisah dengan lelaki itu dan terpaksa menjalani kehidupan bersendirian dalam kesusahan dengan bekerja sebagai tukang sapu.
Norida memiliki dua anak iaitu Nur Fateen Akmadiana yang dilahirkan di Malaysia, manakala seorang lagi, Muhamad Sabani Daniel dilahirkan di Indonesia.
Usaha membawa pulang Norida dilakukan keluarganya termasuk mendapatkan bantuan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri.
Menurut Norida, dia bersyukur dapat menyambut Ramadan di tanah air sendiri dan mengibaratkan hidupnya umpama ‘keluar dari kandang harimau’ apabila dapat kembali ke Malaysia.
“Saya sangat gembira dapat menyambut Ramadan di kampung halaman kerana dapat bersama keluarga setelah sekian lama saya hidup di Lombok,” katanya.
Norida yang sering dipanggil mak cik di Lombok, menjejakkan kaki semula di Malaysia bersama anak perempuannya yang kini sudah berusia 20 tahun.
Norida tidak menolak kemungkinan untuk datang ke Lombok untuk melihat anak lelakinya yang masih berada di Lombok.
“Kemungkinan besar saya akan ke Lombok lagi kerana mempunyai anak lelaki yang lahir di sana selain mengunjungi kenalan yang banyak membantu memberi tempat dan pekerjaan setelah saya diceraikan,” katanya.
Sementara itu, ibu saudaranya, Umi Kalsum Ahmad, 67, berkata dia berharap Norida tidak lagi pulang ke negara berkenaan.
“Harapan saya janganlah balik ke sana kerana susah hidup. Kalau sekadar untuk melancong, mungkin boleh tetapi kalau nak menetap di sana, tak payahlah.
“Saya menerima Norida dan cucu dengan sepenuh hati serta sudah anggap seperti ahli keluarga sendiri,” katanya.















