KUALA LUMPUR – Faktor sosioekonomi rendah dan keadaan tempat tinggal yang sesak dikenal pasti antara punca mengapa penularan wabak tuberkulosis (tibi) masih ada meskipun penyakit itu sudah lama dianggap terkawal.
Pakar Perubatan dan Penyakit Berjangkit Hospital Pakar Damansara, Dr. Shaharudeen Kamaludeen berkata, kepadatan penduduk yang tinggi khususnya dalam kalangan pekerja bergaji rendah menyumbang kepada peningkatan risiko penularan tibi yang merebak melalui udara.
“Sebagai contoh, sebuah rumah dua bilik boleh dihuni oleh lapan hingga 10 orang. Keadaan ini sangat berisiko kerana tibi mudah merebak dalam persekitaran tertutup dan sesak,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Menurut beliau, antara punca lain yang turut menyumbang ialah kemasukan warga asing tanpa izin dari negara yang mempunyai kadar tibi tinggi.
Shaharudeen menambah, penularan wabak ini memberi risiko tinggi kepada warga emas serta pesakit kronik antaranya penghidap kencing manis, buah pinggang tahap akhir yang memerlukan dialisis dan pesakit HIV.
“Golongan ini mempunyai sistem imun yang lemah dan lebih mudah dijangkiti tibi,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Shaharudeen berkata, walaupun tibi tidak lagi menjadi perhatian umum sejak beberapa tahun lalu, situasi semasa membuktikan bahawa kawalan penyakit itu perlu dilakukan secara berterusan dan menyeluruh.
Beliau merujuk kepada kluster tibi di Pengerang baru-baru ini yang melibatkan kes indeks seorang warga emas berusia 71 tahun, sebelum beberapa kes lain berjaya dikesan melalui saringan kontak secara agresif.
“Pengesanan awal, rawatan lengkap, saringan kontak serta kesedaran orang ramai untuk mendapatkan rawatan adalah kunci utama memutuskan rantaian penularan tibi,” katanya.
Tambahnya, kegagalan mengawal penularan tibi boleh menyebabkan lebih banyak kluster komuniti wujud selain risiko penularan senyap akibat kes yang dikesan lewat.
“Lebih membimbangkan, rawatan yang tidak lengkap boleh membawa kepada tibi rintang ubat (MDR-tibi) yang jauh lebih sukar untuk dirawat,” katanya.














