
Oleh Profesor Madya Dr. Mohamed Ali Haniffa
KELEMAHAN sahsiah adalah punca utama kelemahan sesuatu bangsa. Demikian kesimpulan yang dibuat oleh Pendeta Za’ba dalam penulisan bertajuk Perangai
Bergantung Pada Diri Sendiri. Kemunduran sebahagian besarnya adalah kerana tidak percaya pada kebolehan diri sendiri, lemah cita-cita, kurang hemah dan terlalu menggantungkan diri serta harapan kepada orang lain.
Universiti menjadi impian setiap pelajar. Antara impian dan cita-cita diterjemahkan apabila berjaya menjejakkan kaki ke menara gading. Seharusnya kita memiliki budaya ‘sedar diri’ bagi menaikkan semangat untuk berjaya kerana tidak semua bernasib baik untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Setelah 14 minggu para mahasiswa berhempas pulas menimba ilmu, sudah sampai masa dan ketikanya mereka diuji dalam peperiksaan akhir semester. Sebahagian penilaian yang berupa pentaksiran sebelum peperiksaan akhir telahpun dilaksanakan.
Pendekatan pengajaran dan pembelajaran di IPT dikendalikan selari dengan agenda transformasi pendidikan tinggi serta keperluan pembelajaran fleksibel masa kini.
Pendidikan berasaskan hasil menekankan kepada hasil yang diperoleh oleh mahasiswa selepas melalui pembelajaran yang spesifik.
Ini memerlukan semua bahagian dalam pendidikan yang meliputi silibus, pengajaran dan pembelajaran serta penilaian disusun secara selari agar tercapai matlamat.
Bagi mahasiswa semester satu, ini merupakan pengalaman pertama di alam pengajian tinggi. Tahun 2026 diharapkan akan menjadikan diri anda sebagai mahasiswa matang.
Elakkan membuat perbandingan dengan orang lain dan tetapkan matlamat untuk menjadi individu yang lebih baik.
Keazaman untuk berjaya dipupuk dengan disiplin kendiri, kesabaran dan gigih berusaha. Mahasiswa perlu membina dan memiliki keinginan untuk cemerlang dalam setiap bidang yang diceburi dengan penuh ketekunan serta bersungguh-sungguh.
Perlu disemat dalam minda bahawa kegagalan pertama tidak melambangkan kegagalan untuk selama-lamanya.
Alam pengajian perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin dan tidak mudah berpuas hati dengan apa yang diperoleh. Elakkan budaya ‘cukup makan’ dan bersedia menjadi yang terbaik dalam kalangan terbaik.
Persaingan yang sihat dalam kalangan mahasiswa akan memperlihatkan kedudukan pencapaian sentiasa berada pada tahap yang sangat cemerlang. IPT menyediakan ruang dan peluang yang secukupnya dalam membina bakat serta keperibadian sepanjang bergelar mahasiswa.
Gunakan minggu ulang kaji dengan sebaiknya bagi mempersiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan. Mahasiswa perlu bijak mencari peluang mendapatkan nota dan konsultasi dari para pensyarah serta rakan-rakan.
Hubungan baik tersebut merupakan jaringan awal untuk membina budaya ilmu. Alam pengajian yang mencabar di IPT memerlukan jaringan kerjasama dalam menyelesaikan tugasan ataupun perbincangan. Sudah pasti tugasan yang dihasilkan secara bersama akan mempunyai kualiti yang terbaik.
Elakkan sikap sambil lewa yang boleh menjejaskan kualiti pembelajaran.
Konsep bertanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga, guru-guru, bangsa, agama dan negara penting dalam proses ke arah kecemerlangan.
Setiap tugasan yang dilaksanakan perlu diusahakan dengan penuh rasa tanggungjawab dan mengikut kehendak serta arahan.
Dalam konteks menuntut ilmu, ‘siapa cepat dia dapat’ dan tidak seharusnya menyalahkan orang lain kerana ini merupakan strategi mahasiswa yang peka dengan kehendak semasa.
Peer Teaching juga adalah kaedah efisien dalam mengasah pemahaman dan kemahiran yang diperlukan. Bimbingan secara berpasangan dan berkumpulan akan meningkatkan pemahaman serta menggalakkan pembelajaran kendiri.
Biasakan budaya ‘memberi dan menerima’ dengan membantu rakan-rakan yang memerlukan konsultasi dalam akademik.
Mahasiswa juga perlu menggunakan pelbagai kemudahan secara bijak. Manfaatkan perpustakaan sebagai gedung ilmu dan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara berhemah bagi mempelajari disiplin baharu.
Pengurusan stres juga perlu dikendalikan secara bijak agar kekal sihat menjelang peperiksaan dan selepasnya. Pastikan mendapat tidur dan rehat yang mencukupi disamping aktiviti riadah.
Di setiap IPT, perkhidmatan sokongan melalui Unit Kaunseling, Jabatan Hal Ehwal Pelajar adalah untuk membantu menangani masalah peribadi, akademik dan kerjaya.
Kesejahteraan psikologi dan membangunkan potensi diri pelajar adalah prioriti agar mereka berjaya dalam pengajian serta kehidupan.
Kejayaan seseorang itu didorong oleh kekuatan spiritual dan mental. Potensi setiap mahasiswa berbeza, namun ia boleh dikembangkan dan dipertingkatkan melalui proses pembelajaran serta pengalaman sepanjang kehidupan.
Sebagai manusia biasa sudah pasti kita melakukan kekhilafan. Kemungkinan anda lewat menghantar tugasan ataupun tidak hadir ke kuliah tanpa alasan munasabah.
Sebaiknya, berjumpa dengan para pendidik dan mohon keberkatan serta menghalalkan ilmu agar dipermudahkan segala urusan dalam menjawab soalan peperiksaan.
Jangan dilupa jasa dan pengorbanan ibu bapa anda. Kemudahan telekomunikasi kini hanya memerlukan anda menghubungi mereka tanpa perlu kembali ke kampung halaman.
Maklumkan mengenai persiapan anda dalam menghadapi peperiksaan dan mohon doa serta kemaafan. Sokongan emosi yang diberikan cukup bermakna dan memberikan keyakinan tambahan dalam menghadapi detik yang penting serta bermakna.
Selagi masih ada waktu, teruskan berusaha untuk mengubah diri kerana akan membuahkan kemenangan. Semoga ketenangan dan kelapangan hati serta jiwa menjadi bekal dan azimat dalam menghadapi peperiksaan yang bakal berlangsung.
Berdoa dan tawakal kepada Tuhan akan memberikan kejayaan buat anda semua. Selesaikan dahulu agenda penting ini sebelum anda melepaskan lelah buat seketika.
Imam Syafie menyatakan bahawa ilmu perlu dituntut sepanjang masa. Adalah menjadi suatu kerugian sekiranya kita bergelar graduan, namun masih lagi banyak kekeliruan pada ilmu yang kita pelajari. Semoga anda berjaya.














