LONDON – Seorang pencuri di barat London ditangkap selepas didapati menyembunyikan pelbagai barangan termasuk tiga kotak telur dan sembilan gulung tisu tandas di dalam skirt dipakainya, lapor portal berita MailOnline semalam.
Wanita itu ditahan petang kelmarin selepas seorang pelanggan kedai runcit menyedari skirt dipakainya kelihatan menggelembung dan bergerak secara tidak semula jadi ketika dia berjalan.
Pekerja kedai kemudian terkejut melihat jumlah barangan yang ditemukan di dalam skirt ala Mary Poppins, watak fiksyen terkenal dalam cerita dan filem kanak-kanak. Nilai barangan yang dicuri adalah lebih £20 (RM109).
Wanita itu kedengaran memberitahu kakitangan kedai: “Saya pulangkan semula.”
Dia juga kedengaran menjerit menggunakan kata-kata kesat dan mengarahkan kakitangan kedai supaya tidak menyentuhnya.
Dia ditangkap dan kini berada dalam tahanan polis. – AGENSI














