BANGKOK – Pihak berkuasa menemukan mayat seorang lelaki terbaring di atas motosikal di Phatthalung, Thailand, dipercayai akibat ditembak, lapor laman berita MSNews kelmarin.
Mangsa dikenali sebagai Sriphrai, 50, manakala suspek dikenal pasti sebagai Warongkorn, 56.
Suspek dipercayai menembak mati jirannya itu susulan aduan berkaitan bunyi bising.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 10.20 malam (waktu tempatan) di subdaerah Tha Madua.
Mereka dilaporkan berselisih faham selama lebih setahun kerana suspek kerap mengadakan perhimpunan sosial di rumahnya, menyebabkan bunyi bising pada waktu malam.
Pada hari kejadian, mangsa sekali lagi bertengkar dengan suspek selepas dia pulang ke rumah.
Apabila pertengkaran menjadi tegang, suspek didakwa mengambil sepucuk pistol lalu menembak mangsa dari jarak dekat.
Anak mangsa berusia 23 tahun, Anek, turut terkena tembakan di bahagian punggung kanan ketika cuba membantu bapanya.
Dia kemudian dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Polis menahan suspek dan merampas sepucuk pistol yang dipercayai digunakan dalam kejadian tembakan tersebut. – AGENSI














