PETALING JAYA – Kejadian banjir besar yang menenggelamkan bandar Hatyai, Thailand baru-baru ini, menyebabkan rakyat Malaysia membatalkan hasrat untuk berkunjung ke daerah itu kerana bimbang dengan kesan pasca bencana itu.
Kejadian banjir pada hujung bulan lalu itu menjejaskan operasi perniagaan, pengangkutan dan beberapa kawasan tumpuan pelancong.
Seorang pembantu kedai dikenali sebagai Roziey, 46, berkata, dia bersama sembilan rakan membuat keputusan membatalkan percutian ke Hatyai yang dijadualkan pada 12 hingga 14 Disember ini biarpun tempahan hotel sudah dibuat.
“Ada rakan cadang tangguhkan tarikh bagi mengelakkan kerugian, tapi kami tidak setuju kerana bimbang keselamatan jika pergi dalam masa terdekat ini. Insya-Allah, saya merancang semula ke sana apabila keadaan pulih sepenuhnya,” katanya.
Roziey turut menasihatkan rakyat Malaysia yang ingin bercuti ke Hatyai supaya membatalkan hasrat itu buat sementara waktu sehingga situasi benar-benar pulih.
Sementara itu, seorang eksekutif, Syazwina Isanuddin, 34, berkata, dia bersama suami dan anak berusia enam tahun serta enam ahli keluarga merancang untuk ke Hatyai sejak Oktober lalu, namun terpaksa membatalkan hasrat itu kerana bimbang berlaku gelombang kedua.
Katanya, mereka sepatutnya pergi ke Hatyai pada 28 November hingga 1 Disember lalu, namun dibatalkan selepas melihat keadaan di lokasi bencana yang mengambil masa untuk pulih.
“Banyak kedai makan masih belum beroperasi, kami bimbang risiko terdedah kepada wabak penyakit.
“Disebabkan tidak ke Hatyai, kami bercuti dalam negara sahaja. Asalnya hendak ke Cameron Highlands, tapi hujan lebat dan tanah runtuh jadi kami bersepakat tunggu tahun depan (bercuti),” katanya.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan seorang aktivis menerima banyak pertanyaan daripada rakyat Malaysia yang mahu berkunjung ke Hatyai selepas kejadian bah sehingga menyebabkan 4,000 rakyat kita terkandas baru-baru ini.
Abdul Halim Othman atau lebih dikenali sebagai Cikgu Joe Satun memaklumkan setakat ini tiada halangan untuk ke lokasi tersebut, namun dinasihatkan supaya lebih berhati-hati.
Katanya, dalam dua hingga tiga minggu pertama, risiko beberapa penyakit seperti leptospirosis atau kencing tikus meningkat jika berada di kawasan berlumpur atau air kotor.
Pelancong juga terdedah cirit-birit, kolera dan typhoid jika memakan makanan dan minuman tercemar selain risiko denggi kerana air bertakung menjadi tempat pembiakan aedes, jangkitan penyakit kulit dan masalah pernafasan.















