fbpx
Proton e.MAS 5 yang berharga mampu milik merupakan EV paling murah dalam pasaran Malaysia.

e.MAS 5 sesuai jadi EV pertama semua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PROTON sekali lagi mencipta sejarah dengan pelancaran kenderaan elektrik (EV) kedua nasional, Proton e.MAS 5 pada 30 Oktober lalu.

Menariknya, e.MAS 5 dihasilkan dengan semangat elektrifikasi untuk semua dengan penawaran harga mampu milik, praktikal dan bergaya terutama bagi pengguna yang mencari EV pertama.

Model hatchback dalam segmen B itu dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia selepas Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (Pro-Net), anak syarikat Proton memberi ‘teaser’ tentang e.MAS 5 dalam siri jelajah dan pratonton yang diadakan.

EV kompak itu menerima sambutan luar biasa dengan lebih 5,000 tempahan diterima dalam tempoh tiga minggu sejak tempahan dibuka pada 4 Oktober lalu.

Seperti dijangka, dua varian ditawarkan untuk e.MAS 5 iaitu varian Prime (asas) pada harga RM59,800 dan varian Premium, RM72,800 atas jalan tanpa insurans menjadikannya model EV paling murah dalam pasaran Malaysia.

Istimewa untuk pelanggan yang membuat tempahan sebelum 31 Disember 2025, Proton memberikan diskaun tambahan sebanyak RM3,000, menjadikan varian Prime dijual pada harga RM56,800 dan varian Premium RM69,800.

Lima warna menarik ditawarkan iaitu Moonstone White, Marble Cream, Quartz Rose, Graphite Silver dan Slate Grey.

Sesuai dengan jiwa anak muda yang aktif dan ceria, pilihan warna ini merupakan nilai tambah kepada pengguna untuk memilih e.MAS 5 bergantung kepada personaliti.

Dibangunkan hasil kerjasama Proton dan syarikat automatif China, Geely Holding Group Co. Ltd. (Geely), e.MAS 5 dibina menggunakan platform Global Modular Architecture (GMA) sama seperti e.MAS 7.

Dari segi dimensi, model elektrik ini berukuran 4,135 milimeter (mm) panjang, 1,805mm lebar, 1,580mm tinggi dan jarak antara roda sepanjang 2,650mm.

Proton e.MAS 5 ini juga merupakan model pertama Proton yang ditawarkan sebagai sebuah model pacuan roda belakang dengan motor elektrik tunggal yang diletakkan pada gandar belakang.

Untuk varian Premium, motor elektrik menghasilkan kuasa 116 PS (85kW) dan tork maksimum 150Nm yang dipacu oleh bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) keluaran CATL berkapasiti 40.16kWh.

Sementara bagi varian Prime, motor elektrik yang dibekalkan hanya berkuasa 79PS (58kW) dan tork maksimum 130Nm dengan kapasiti bateri LFP lebih kecil 30.12kWh.

Dari segi jarak gerak, untuk Premium bergerak sejauh 325km dan Prime 225km untuk sekali cas penuh mengikut data WLTP.

Meskipun mempunyai rekaan yang tampak kecil, hasil uji pandu menunjukkan jentera ini mempunyai pecutan yang tidak mengecewakan dan stabil di selekoh tajam.

EV kompak ini menyokong pengecasan AC 6.6kW, serta pengecasan pantas DC 71 kW. Bateri boleh dicas 30 hingga 80 peratus sepantas 21 minit sahaja.

Dari segi luaran, penulis tertarik dengan rekaannya yang minimalis tetapi dengan suntikan moden sesuai untuk kenderaan hijau futuristik. Bahagian hadapan tampil tanpa jeriji dengan bampar tertutup dan lampu utama LED yang tirus.

Sementara itu, bumbung berkonsepkan ‘floating roof’ (bumbung terapung) dengan dua ton iaitu bumbung berwarna gelap untuk varian Prime.

Selain itu, terdapat elemen corak bintang pada panel C-pillar iaitu antara tiang belakang yang menyokong bumbung di antara tingkap dan cermin belakang.

Penulis bersama rakan media lain antara yang terawal diberi peluang memandu uji EV nasional kedua itu di trek Pusat Kecemerlangan Proton (COE) Shah Alam sebelum dilancarkan secara rasmi.

Boleh dikatakan e.MAS 5 walaupun saiznya kecil tetapi kuasa dan pecutan yang diberikan tidak mengecewakan.

Pecutannya selari walaupun pedal ditekan sehingga kelajuan mencapai 80 hingga 120km/j, malah badan kenderaan ini stabil ketika melalui selekoh tajam.

Bagi penulis, walaupun e.MAS 5 sebuah EV, namun pemanduannya tidak banyak berbeza seperti memandu kenderaan pembakaran dalam (ICE).

EV ini boleh memecut dari pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 3.9 saat dengan kelajuan maksimum sehingga 140km/j.

Sebagai hatchback kompak, e.MAS 5 mempunyai sistem suspensi yang baik dengan pemanduan lembut dan selesa ketika jentera ini melalui ujian slalom serta pusingan bentuk lapan.

Meninjau ke ruangan kabin, e.MAS secara standard menerima kemasan dalaman berwarna Flint Grey, manakala pembeli varian Premium warna Marble Cream atau Quartz Rose akan menerima kemasan berwarna Alabaster White.

Ia dilengkapi skrin infotainment besar bersaiz 14.6 inci, sistem bantuan pemandu pintar serta fungsi Vehicle-to-Load (V2L) yang membolehkan kereta ini menjadi ‘power bank bergerak’ ketika berkelah atau berkhemah.

Apa yang penulis suka adalah e.MAS 5 ini merupakan EV pertama di Malaysia yang mempunyai kawalan suara dalam Bahasa Melayu ‘Hi e.MAS’ dan fungsi navigasi pencarian stesen pengecas.

Sedikit tentang ciri atau kelengkapan yang menurut Proton merupakan hanya ditawarkan oleh e.MAS 5 termasuklah pemilih gear kristal, roda stereng dua-tona dan ruang storan di bawah kerusi dengan kapasiti 28 liter.

Ruang simpanannya juga luas, dengan frunk 70 liter di hadapan dan bonet 375 liter di belakang, sesuai untuk anak muda aktif yang sentiasa bergerak.

Kesimpulannya, penulis amat sarankan e.MAS dimasukkan dalam senarai EV pilihan dengan harganya yang sangat kompetitif tanpa kompromi dari segi keselesaan.

EV nasional ini dilihat praktikal untuk kegunaan harian terutama di bandar dan Proton membuktikan teknologi hijau boleh dicapai dan dimiliki oleh semua golongan masyarakat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN