SETIAP tahun Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) merupakan satu acara yang dinanti-nantikan para peminat acara larian di negara ini.
Malah, acara itu digelar ‘hari raya’ bagi pelari kerana dianggap satu perayaan besar berikutan disertai puluhan ribu peserta.
Michelle Chua Khit Yeng antara pelari yang tidak melepaskan peluang menyertai KLSCM tahun ini. Lebih membanggakan buat ibu seorang cahaya mata itu apabila dia berjaya menjadi juara dalam kategori Terbuka Wanita Malaysia dengan catatan masa larian 3 jam 5 minit 40 saat untuk jarak sejauh 42 kilometer (km).
Hanya tangisan kegembiraan yang dapat dizahirkan oleh Michelle, 34, sebaik sahaja kakinya melangkah ke garisan akhir.
“Saya menangis sebaik sahaja sampai ke garisan penamat kerana saya tidak percaya dapat mencipta catatan masa terbaik untuk diri saya.
“Larian untuk sampai ke garisan penamat bukan mudah, beberapa bulan sebelum acara saya bekerja keras untuk membaiki catatan masa saya.
“Sebelum ini catatan masa 3 jam 5 minit 40 saat mungkin hanya satu mimpi buat saya, tetapi saya jadikannya satu realiti untuk KLSCM yang saya sertai tahun ini,” kata suri rumah itu kepada K-Wanita.
Setiap tahun KLSCM merupakan acara yang dinantikan oleh Michelle.

Malah, dia telah menyertai acara itu sejak tahun 2014 lagi dan dia sehingga kini telah menjadi juara sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2023 dan tahun ini.
Pada tahun 2022, dia mendapat tempat ketiga dan untuk edisi tahun lalu dia mendapat tempat kedua.
Menceritakan tentang KLSCM tahun ini yang menyaksikan dirinya kembali bergelar juara, Michelle berkata, persaingan untuk kategori yang disertainya sangat kuat.
“Saya sendiri tidak pasti pada awalnya sama ada mampu untuk menjadi juara.
“Saya hanya fokus untuk mencatatkan masa peribadi terbaik ketika larian, kerana pada tahun lalu saya tidak dapat mencatatkan masa sepertimana yang saya sasarkan.
“Saya dapat catatan masa yang saya mahukan pada tahun ini dan apa yang lebih menggembirakan apabila catatan masa ini juga membuatkan saya menjadi juara,” jelasnya.
Untuk menyempurnakan larian sejauh 42km bukanlah sesuatu yang mudah dan Michelle sendiri berhadapan dengan cabaran dalam KLSCM pada tahun ini.
Walaupun sudah bertahun-tahun berlari dan menyelesaikan beberapa maraton penuh, dia mengaku bahawa perjuangan mental tetap datang setiap kali berlari.
“Pada jarak 25km, tiba-tiba didatangi rasa yang mula menyoal diri sendiri mengapa saya berlari?
“Selain itu, apa yang paling stres dalam larian tahun ini adalah jalan menuju ke garisan penamat. Tahun ini garisan penamat di Stadium Merdeka dan berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini.
“Pada jarak 38 km untuk ke garisan penamat saya perlu berlari di laluan yang mula mendaki, dalam keadaan penat tetapi masih kena berlari di laluan naik turun bukit, ia memang sesuatu yang sukar,” jelasnya.
Tetapi, dia telah bersedia mental serta fizikal sepenuhnya dan berjaya menyempurnakan larian tersebut.
Menceritakan tentang penglibatannya dalam acara larian, Michelle berkata, dia sebenarnya mula berlari sejak tahun 2010 dengan tujuan awalnya untuk mengamalkan gaya hidup sihat.
Acara larian pertamanya yang disertainya adalah untuk jarak 10km.
Itulah permulaan yang ringkas dalam acara larian, tanpa latihan khas atau matlamat besar.
Hanya ajakan kawan-kawan kolej untuk mencuba sesuatu yang baharu.
“Kemudian kawan-kawan mencadangkan untuk saya mencuba berlari separuh maraton untuk jarak 21 km pada tahun yang sama.
“Setelah selesai untuk jarak 21 km kawan-kawan mengajak saya untuk mencuba maraton penuh sejauh 42 km pada acara Putrajaya Night Marathon pada tahun 2011,” katanya.
Tambahnya, dia masih ingat pada acara tersebut dia berada pada kedudukan tiga terakhir.
Michelle mengakui dia ‘trauma’ untuk menyertai maraton lagi dan selepas acara itu dia berhenti berlari selama setahun.
Namun pada hujung 2012, dia mula kembali berlari setelah diajak oleh rakan-rakannya.
Pada tahun itu juga, dia ada pergi ke gimnasium dan kebetulan berjumpa kumpulan pelari berusia yang aktif.
Dari situ, Michelle belajar tentang long run, interval training dan kepentingan teknik serta disiplin berlari.
“Mereka mengajak saya lari di luar, bukan di atas mesin treadmill saja.
“Saya kemudian menyertai Malaysia Women Marathon 2013 dan menamatkan larian di tempat kelapan. Saya langsung tidak sangka pada ketika itu,” jelasnya.
Selepas itu, Michelle ada menyertai pelbagai acara larian tetapi tidak begitu kerap.

Namun, dia mula fokus untuk mengejar podium larian bermula tahun 2022 setelah berhadapan dengan masalah tekanan.
“Selepas saya melahirkan anak, saya mengalami postpartum depression atau depresi selepas bersalin. Rasa seperti terperangkap di dalam rumah dan saya tidak tahu bagaimana mahu menceritakan tentang rasa yang saya alami.
“Tapi, bila saya berlari pada pukul 4 pagi, waktu itu saya rasa bebas tidak diganggu dan mendapat ketenangan,” jelasnya.
Sejak itu, dia kembali berlari maraton dan mendapat tempat ketiga untuk KLSCM pada 2022.
Michelle menjelaskan, dalam setahun dia banyak menyertai acara larian untuk jarak 10 km dan 21 km.
Sementara itu, untuk jarak 42 km dia hanya akan melakukan sekali dalam setahun.
“Apabila kita berlari untuk jarak 42 km, badan kita kena proses banyak benda.
“Badan kita memerlukan masa dua hingga tiga minggu untuk pulih sepenuhnya dan kita juga perlu memberi masa kepada otot untuk pulih,” terangnya.
Tambahnya, dia juga hanya fokus untuk berlari maraton penuh untuk KLSCM sahaja kerana ia merupakan satu acara yang berprestij.
Kebiasaannya selepas KLSCM, dia akan berehat berlari selama sebulan.
Kemudian akan kembali berlatih berlari untuk mengekalkan kecergasan bagi menyertai acara lain untuk jarak 10 km dan 21 km.
Michelle berkata, sebagai seorang suri rumah sepenuh masa, dia perlu membahagikan masa antara latihan dan keluarga.
Ini kerana dalam seminggu dia akan berlari antara lima hingga enam kali.
“Cabaran saya untuk berlatih berlari adalah untuk bangun pagi, ini kerana saya akan berlatih berlari seawal pukul 4 pagi.
“Kalau saya tidak bangun, saya sudah hilang masa saya untuk berlari dan me time. Apabila anak saya sudah bangun, saya sudah perlu menguruskan keluarga.
“Pada sebelah malam pula saya ada mengajar tuisyen dan akan mempunyai masa yang agak terhad untuk berlari,” terang Michell.
Ketika diminta mengulas tentang sasarannya untuk KLSCM pada tahun hadapan, sebolehnya Michelle ingin naik podium dan menjadi juara lagi.
Pun begitu, dia mengakui untuk mengekalkan kejuaraan pada tahun hadapan bukan sesuatu yang mudah kerana setiap tahun persaingan sengit diberikan oleh peserta lain.
“Saya rasa dengan catatan masa yang saya raih tahun ini mungkin tidak cukup untuk menang pada tahun hadapan.
“Saya berharap latihan saya untuk KLSCM tahun hadapan dapat berjalan dengan bagus bagi membolehkan saya mencatatkan masa yang lebih baik,” katanya.














