fbpx
MD. DAUD menegaskan kesihatan tubuh badan untuk menunaikan ibadah haji turut disebut di dalam hadis.

Syarat ketat Arab Saudi: Peraturan baik sejajar syarat wajib haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Syarat kesihatan diperkenalkan Kerajaan Arab Saudi bagi jemaah haji Musim 1447H/2026M merupakan satu peraturan baik untuk dipatuhi, bahkan ia sejajar dengan syarat wajib haji di dalam Islam.

Pengarah Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia), Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, secara dasar beliau bersetuju dengan syarat diperkenalkan Kerajaan Arab Saudi, malah ia langkah dalam mengurangkan perbelanjaan jemaah haji Malaysia.

“Saya sebagai bekas pekerja Lembaga Tabung Haji (TH) dekat 25 tahun, saya masak sangat. Syarat wajib haji ini ada enam antaranya mempunyai kewangan cukup, tidak minta hutang dan tanpa berhutang.

“Ada kenderaan pergi balik dan ini kerajaan sediakan masuk dalam belanja haji. Selain itu, sihat tubuh badan merupakan syarat menunaikan haji kerana kalau sakit, macam mana dia nak buat tawaf, saie dan tentunya nak pakai kerusi roda. Siapa nak sorong?,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Beliau berkata, sekiranya mereka yang sakit berkerusi roda perlu membawa pembimbing misalnya adik-beradik, berkemungkinan ia turut melibatkan kuota untuk menghantar ke sana.

“Justeru, syarat dikeluarkan oleh Kerajaan Arab Saudi ini juga mengurangkan perbelanjaan di Tanah Suci,” katanya.

Md. Daud menegaskan, kesihatan tubuh badan untuk menunaikan ibadah haji turut disebut di dalam hadis, malah bagi orang yang sihat, mereka dipanggil oleh Allah untuk ke sana.

“Sakit-sakit kenapa nak pergi? Kalau pergi berapa orang nak jaga? Doktor, pembimbing? Kerajaan Arab Saudi buat peraturan cukup bagus.

“Selain itu, kita tak payah buka klinik di sana dan kedua, kalau buka pun, belum tentu bebas untuk memberikan sebarang ubat.

“Sakit teruk, contohnya jantung atau buah pinggang, perlu dirawat di hospital Arab Saudi,” katanya.

Md. Daud menegaskan, kesempatan masa juga antara salah satu syarat wajib haji dan perkara itu tidak melibatkan orang yang sakit.

“Orang sakit dianggap tak sempat masa pergi. Jadi jangan pergi lagi, tunggu berubat sampai cukup sihat dan tak kena penyakit yang disekat dalam peraturan. Sihat sungguh, baru pergi,” katanya.

Kosmo! melaporkan, bebas daripada penyakit berjangkit, penyakit serius atau kronik tidak terkawal antara syarat kesihatan diperkenalkan Kerajaan Arab Saudi bagi jemaah haji Musim 1447H/2026M.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad dilaporkan berkata, antara syarat lain yang perlu dipatuhi sebelum memperoleh visa ialah jemaah mestilah berupaya menjalankan ibadah haji secara berdikari tanpa bantuan orang lain.

Beliau dipetik berkata, syarat kesihatan baharu itu sebagai langkah memastikan hanya individu benar-benar sihat dibenarkan menunaikan ibadah haji.

Selain itu, TH tetap menyediakan klinik kesihatan di semua bangunan penginapan jemaah di Makkah dan Madinah yang dilengkapi klinik pesakit luar serta farmasi.

Bagaimanapun, TH tidak lagi dibenarkan membuka pusat rawatan sendiri di Tanah Suci dan jemaah yang memerlukan rawatan lanjut akan dirujuk ke hospital-hospital kerajaan Arab Saudi dengan pemantauan pakar perubatan KKM. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN