fbpx
FIFA memutuskan FAM perlu membayar denda CHF350,000 (RM1.8 juta) manakala pemain dikenakan penggantungan 12 bulan dan denda CHF2,000 (RM10,000). - GAMBAR HIASAN/IHSAN FAM

Hukuman FIFA ke atas FAM, pemain warisan ‘cacat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPULUH tahun lalu, tragedi melanda arena bola sepak Malaysia yang ketika itu skuad kebangsaan tewas 0-10 kepada Emiriyah Arab Bersatu pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018.

Selepas 10 tahun, maruah negara seakan sekali lagi dirobek apabila Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengenakan hukuman kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan atas dakwaan melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.

FIFA memutuskan FAM perlu membayar denda CHF350,000 (RM1.8 juta) manakala pemain dikenakan penggantungan 12 bulan dan denda CHF2,000 (RM10,000).

Bagaimanapun, FIFA seperti membuat pusingan U memandangkan sebelum itu tujuh pemain warisan yang dihukum sudah pun diberi lampu hijau untuk mewakili Malaysia.

Andai benar sekali pun wujudnya protes daripada negara anggota lain, ia menimbulkan persoalan adakah kelulusan sebelum ini dibuat secara ‘cincai’?

Kenapa tidak FIFA lebih teliti seperti keputusan mereka menolak permohonan bintang kelab Belanda, Go Ahead Eagles, Mats Deijl kerana hanya ada garis keturunan dengan Malaysia menerusi moyang, bukan nenek atau datuk seperti ketetapan peraturan.

“FIFA sepatutnya mendapatkan penjelasan terlebih dahulu, FAM serta pemain seharusnya kekal tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah dan bukan sebaliknya.

“Hukuman yang dikenakan seolah-olah ada ‘kecacatan’ kepada proses menghukum dan pengumuman yang disebar luas tanpa fakta kes yang jelas telah meletakkan FAM dan pemain pada situasi yang tidak adil,” kata bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa.

Soal ketelusan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga tidak boleh dipertikai kerana Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution sudah menjelaskan isu kewarganegaraan dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Perkara 19 (1), Perlembagaan Persekutuan.

Bukti sahih lain sudah membuktikan JPN serius dalam hal babitkan pemberian status warganegara seperti penolakan permohonan pemain dari Congo, Marcel Kasongo Kalonda selepas mendapati dokumen diberikan mengandungi maklumat tidak sahih.

FAM tampil mengakui wujudnya kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen, namun ia bukan penutup cerita kerana perkara itu sepatutnya wajib dilaksanakan secara teliti.

Bagaimanapun, penulisan kali ini tidak bertujuan untuk mencari siapa salah atau pun siapa betul sebaliknya menjurus kepada khidmat ‘nasihat percuma’ supaya lebih berhati-hati.

Memang benar wujud persoalan dalam kalangan peminat tempatan tentang susur galur dan isu itu tidak akan tercetus jika penerangan terperinci dibuat berkaitan salasilah pemain warisan.

“Tetapi SPRM pun sudah keluarkan kenyataan, mereka sudah periksa tidak ada apa-apa tanda rasuah ataupun tanda penyalahgunaan kuasa. Jadi saya hanya boleh mengandaikan bahawa dokumen yang dikeluarkan oleh KDN itu tulen.

“Bagaimana mereka buat keputusan tersebut, mungkin perkara itu boleh dijawab oleh kerajaan bahawa ada bukti bahawa susur galur mereka, seorang daripada datuk, seorang daripada nenek lahir di Malaysia dan sebagainya.

“Itu saya rasa perkara teknikal yang boleh dijelaskan dan saya rasa inilah yang nak disampaikan kepada FIFA dalam rayuan nanti,” kata bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Maka hanya penjelasan kepada umum mengenai data dan susur galur dilihat cara terbaik supaya kepercayaan terhadap sistem bola sepak dan sistem kerajaan berdaulat di Malaysia dapat dikembalikan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN