KAWASAN pesisir di barat Ireland yang terkenal dengan tiupan angin kencang kini menjadi lokasi eksperimen teknologi tenaga boleh diperbaharui yang unik.
Jika biasanya tenaga angin dikaitkan dengan turbin gergasi yang terpacak megah di daratan atau di laut, projek ini memilih pendekatan berbeza iaitu dengan menggunakan layang-layang.
Inisiatif yang dinamakan ‘Let’s go fly a kite’ ini dikendalikan oleh syarikat Kitepower, dengan matlamat untuk membuktikan bahawa tenaga angin juga boleh dijana secara lebih ringan, fleksibel dan mesra alam.
Menurut wakil dari Kitepower, Padraic Doherty, sistem yang diuji di Bangor Erris ini menggunakan layang-layang besar bersaiz sekitar 60 meter persegi.
“Layang-layang tersebut disambungkan dengan kabel kepada sebuah generator di tanah. Apabila terbang setinggi hampir 400 meter dan kemudian ditarik turun ke paras lebih rendah, kabel yang diregangkan itu memutar drum seperti sebuah yo-yo gergasi.
“Putaran ini menghasilkan tenaga mekanikal yang seterusnya ditukar menjadi tenaga elektrik. Proses ini berulang secara kitaran, membolehkan sistem terus menjana tenaga setiap kali layang-layang bergerak,” katanya kepada portal CGTN.
Tambahnya, elektrik yang terhasil disalurkan ke dalam bateri dengan kapasiti simpanan sekitar 336 kilowatt-jam.
Semasa operasi biasa, output tenaga mencecah kira-kira 30 kilowatt. Angka ini mungkin tampak kecil berbanding turbin moden, tetapi untuk sebuah sistem mudah alih dan bersaiz padat, ia wajar.
Salah satu kelebihan terbesar sistem ini ialah mobiliti. Tidak seperti turbin angin tradisional yang memerlukan asas konkrit besar serta pemasangan yang rumit, layang-layang ini boleh dipasang hanya dalam masa 24 jam.
Apabila perlu, ia juga mudah dialihkan ke lokasi lain. Ciri ini menjadikannya sesuai untuk kawasan terpencil, tapak pembinaan, atau pulau kecil yang tidak mempunyai akses kepada grid tenaga utama.
Kongsinya lagi, dari segi kesan alam sekitar, teknologi ini dianggap jauh lebih ringan. Struktur fizikalnya kecil dan tidak meninggalkan parut besar pada landskap seperti menara turbin.
“Bagi kawasan sensitif ekologi, ini adalah satu kelebihan yang signifikan. Malah, apabila diuji dalam keadaan ribut seperti Storm Eowyn pada Januari lalu, sistem layang-layang masih mampu mengekalkan bekalan elektrik tanpa terjejas.
Ini membuktikan kebolehpercayaannya walaupun dalam cuaca ekstrem dan pada masa sama, keupayaan sistem ini mampu untuk menyokong komuniti terpencil menjadikannya berguna sebagai sumber tenaga off-grid,” ujarnya.
Katanya lagi, dengan simpanan bateri yang mencukupi, ia boleh berfungsi sebagai sumber tenaga sandaran di lokasi polar, stesen penyelidikan atau kawasan luar bandar yang jauh dari talian elektrik.
Walaupun ia suatu kaedah yang ‘menjanjikan’, teknologi ini masih berdepan pelbagai cabaran. Dari aspek keselamatan, layang-layang yang terbang pada altitud tinggi perlu dipantau supaya tidak mengganggu laluan penerbangan pesawat atau helikopter.

Pengawalseliaan khas diperlukan bagi memastikan operasi selamat.
Dari sudut penyelenggaraan, kabel, drum, dan sistem kawalan automatik mesti cukup tahan untuk menampung tekanan angin berterusan.
“Kerosakan pada tali atau sistem kawalan boleh mengundang bahaya. Selain itu, untuk menyumbang kepada grid nasional, output tenaga perlu ditingkatkan.
“Pada masa kini, 30 kilowatt hanya mampu memenuhi keperluan kecil. Bagi skala lebih besar, puluhan atau ratusan unit seumpama ini perlu digabungkan,” jelasnya.
Isu lain ialah kos. Walaupun pemasangannya lebih murah berbanding turbin besar, komponen seperti bateri berkapasiti tinggi, kabel khas dan sistem kawalan canggih tetap melibatkan pelaburan yang besar.
Kesan kitar hayat terhadap alam sekitar juga masih dalam penelitian, khususnya berkaitan bahan bateri dan pembuatan kabel.
Konsep tuaian tenaga bersih ini telah menyumbang kepada agenda tenaga di Ireland.
Negara itu telah menetapkan sasaran berani untuk membangunkan tenaga boleh diperbaharui terutamanya tenaga angin luar pesisir.
Negara itu menyasarkan 20 gigawatt kapasiti tenaga angin menjelang 2040 dan sekurang-kurangnya 37 gigawatt menjelang 2050.
Menurut penyelidik sistem tenaga angin bawaan udara (AWE) di University College Cork., Mahdi Salari, walaupun turbin angin kekal sebagai tonggak utama, proses pembinaannya sering lambat akibat isu perancangan, kos dan kesan alam sekitar.
“Dalam konteks ini, sistem layang-layang boleh berfungsi sebagai pelengkap. Ia mungkin tidak menggantikan turbin besar, tetapi boleh mengisi jurang di kawasan yang sukar dibangunkan.
“Dengan skala kecil, sistem ini sesuai untuk projek komuniti, lokasi luar bandar dan penempatan sementara yang memerlukan bekalan segera,” katanya.
Ujarnya lagi, para penyelidik percaya menjelang dekad 2030-an, teknologi AWE seperti layang-layang ini akan mula memberi sumbangan ketara kepada grid tenaga dunia.
Ia akan menjadi sebahagian daripada rangkaian tenaga boleh diperbaharui yang lebih teragih dan berdaya tahan.
“Jika digabungkan dengan sumber lain seperti solar dan hidro mini, ia boleh membentuk sistem tenaga hibrid yang lebih fleksibel.
“Bayangkan masa depan apabila stesen penyelidikan di Artik, pulau terpencil di Pasifik atau kampung di dataran tinggi Afrika dapat menjana tenaga sendiri hanya dengan menaikkan layang-layang.
“Teknologi ini berpotensi merevolusikan cara manusia mengakses tenaga, menjadikan bekalan lebih demokratik dan kurang bergantung pada infrastruktur gergasi,” kongsinya.














