SEREMBAN – Pengguna kini beralih kepada tukang jahit jalanan yang menjalankan perkhidmatan di kaki lima kedai atau pasar raya untuk urusan mereka kerana upah yang rendah dan hasil pun agak memuaskan, selain tempoh menunggu yang singkat.
Biasanya, tukang jahit yang membuka perniagaan di kaki lima terdiri daripada warga asing seperti dari Aceh, Indonesia dan ada juga dari Bangladesh.
Tinjauan Kosmo! ke sebuah pasar raya di pinggir bandar Seremban mendapati terdapat warga asing sedang menyiapkan tempahan pelanggan.
Tukang jahit yang mahu dikenali sebagai Sarinah, 50, berkata, dia mengambil upah serendah RM8 hingga RM20 bergantung kepada ubah suai seluar, baju kurung mahupun jubah, tempahan berkenaan boleh diambil pada hari sama.
Katanya, ramai pelanggan datang ke kedainya kerana mahu tempahan atau ubah suai baju dan seluar cepat siap.
“Ramai pelanggan berpuas hati dengan servis diberi termasuk kadar upah yang rendah berbanding jika dihantar ke kedai jahit lebih besar,” katanya.
Menurutnya, khidmat tukang jahit warga asing sangat mudah ditemui di pasar raya besar dan golongan tersebut juga tidak kisah berkhidmat di mana-mana termasuk tepi kaki lima.
“Kalau masuk pasar raya tu memang susah nak jumpa tukang jahit Melayu. Kebanyakannya ialah warga asing. Mereka (warga asing) ini sama ada mempunyai majikan atau tidak menawarkan harga yang kadang-kala tak masuk akal,” katanya.














