BESUT – Allahyarham Nurly Sahirah Azman yang merupakan antara pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam insiden bas persiaran di Gerik, Perak pada 9 Jun lalu bakal menerima ijazah secara anumerta November ini.
Difahamkan, selain Nurly, Allahyarham Fatin Nasrien Fadli yang juga antara 15 pelajar terkorban dalam tragedi sama turut bakal menerima ijazah pada majis Konvokesyen UPSI dijadual berlangsung 11 November ini.
Ibu Nurly, Kamariah Abdul Latif, 60, berkata, perasaan dia dan suami, Azman Mohamad, 63, bercampur baur antara sebak, terharu dan bangga menanti hari konvokesyen berkenaan.
“Kami akan mewakili arwah (Nurly) menerima ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Khas) secara anumerta.
“Sebagai ibu, saya bangga hasrat arwah anak bongsu saya (Nurly) untuk menggenggam segulung ijazah tercapai juga biarpun dia kini sudah tiada.
“Jurusan Pendidikan Khas ini dipilih sendiri oleh arwah yang berminat mendidik murid-murid istimewa,” katanya di Kampung Gong Pasir, di sini semalam.
Katanya, biarpun tidak sempat bergelar guru, peninggalan Nurly menerusi kisah hidupnya dan naskhah al-Quran tulisan tangan bagaikan telah mendidik dan menyentuh hati ramai orang.
Sementara itu, Azman berkata, mereka sekeluarga bercadang untuk berangkat lebih awal ke kampus UPSI di Tanjung Malim, bagi meraikan kejayaan Nurly itu.
Katanya, biarpun Nurly telah meninggal dunia, kejayaan anak bongsunya daripada lima beradik itu masih perlu diraikan.
“Secara peribadi saya mahu menjejakkan ke kampus UPSI tempat Nurly menuntut ilmu buat kali terakhir untuk melepaskan rindu kepadanya.
“Terasa bagaikan baru semalam kami menghantarnya untuk mendaftar ke UPSI untuk melanjutkan pelajaran tiga tahun lalu,” katanya.
Ujarnya, biarpun lebih 100 hari Nurly meninggalkan mereka, kenangan bersamanya termasuk momen menghantarnya ke Jerteh untuk kembali ke kampus UPSI masih segar dalam ingatan.
















