LORONG warisan Kwai Chai Hong, Kuala Lumpur menyemarakkan semangat sambutan Festival Pertengahan Musim Luruh pada tahun ini dengan menghidupkan ceritera dongeng masyarakat Cina iaitu Wu Gang.
Menggabungkan warisan budaya dengan teknologi digital, pengunjung berpeluang menyaksikan sendiri kehadiran Wu Gang secara maya dengan cara realiti terimbuh atau augmented reality (AR).
Sentuhan magis modenisasi itu membolehkan para pengunjung merasai pengalaman imersif sekali gus mendalami makna di sebalik pameran seni Moonlit Blossom itu.
Bagi memberi sentuhan moden, Kwai Chai Hong bekerjasama dengan studio penceritaan digital, Seeing Artelier yang juga pemenang tempat pertama Festival Realiti Terimbuh Kuala Lumpur 2024.
Pengasas Seeing Artelier, Wong Si Ying bersama pereka gerakan utama Chia Yuan Hong ‘menghidupkan’ mitos itu menerusi gabungan seni visual AR dan rekaan digital di media sosial TikTok (filter) sekali gus membuatkan seolah-olah pengunjung menyelami dunia Wu Gang.
Menurut pengasas bersama Kwai Chai Hong, Zeen Chang, usaha tersebut secara tidak langsung menjadi titik pertemuan antara tradisi dan teknologi masa kini dengan cara hanya mengimbas kod QR yang ada di ruang pameran.
“Kami berharap agar dapat berkongsi budaya dan cerita dengan ramai orang terutama masyarakat di negara kita yang berbilang kaum.

“Selain mendalami tentang budaya, kisah Wu Gang juga dapat dijadikan iktibar kerana tiada jalan mudah untuk mencapai kejayaan,” katanya kepada CitaRasa.
Menerusi pameran seni itu, pengunjung berpeluang menyaksikan 100 tanglung bermotifkan bunga seiring dengan kisah Wu Gang yang berusaha menebang Pokok Osmanthus akibat gagal melepasi ujian diberikan oleh Maharaja Jed.
Berkongsi tentang kisah Wu Gang, Chang memberitahu, legenda itu dipilih bersesuai dengan tema Festival Pertengahan Musim Luruh yang sinonim dengan Bulan.
Dalam pada itu, kisah Wu Gang juga mengingatkan bahawa kejayaan memerlukan semangat, pengorbanan dan usaha konsisten tanpa jalan mudah.
“Dalam kalender Lunar masyarakat Cina, Festival Pertengahan Musim Luruh dikaitkan dengan Bulan khususnya bulan purnama. Waktu ini juga kita boleh lihat ramai peniaga dan restoran menghidangkan makanan kek bulan yang memberi simbol perpaduan, keharmonian keluarga dan ikatan hubungan.

“Menurut legenda, Wu Gang perlu menjalani tiga ujian yang diberikan oleh Maharaja Jed bagi merealisasikan impiannya iaitu dapat hidup selama-lamanya. Awalnya Maharaja Jed mengarahkan Wu Gang untuk belajar tentang selok-belok perubatan, namun dia gagal dan kemudian diteruskan dengan ujian kedua iaitu bermain catur.
“Ujian itu juga gagal dan akhirnya Maharaja Jed minta Wu Gang untuk mempelajari ilmu sastera, tetapi malangnya itu juga gagal. Kemudian Maharaja Jed mengarahkan Wu Gang untuk menebang Pokok Osmanthus di Bulan sehingga pokok itu tumbang,” ujarnya.
Pameran Moonlit Blossom dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah malam bermula 29 Ogos sehingga 12 Oktober depan.
Terdapat juga beberapa mural lain yang menarik untuk jadikan sebagai lokasi bergambar di lorong warisan Kwai Chai Hong.
Kebanyakan mural yang ada mencerminkan tentang gaya hidup masyarakat Cina sama ada di desa mahupun di bandar.
Minggu lalu kumpulan persembahan Drum Up JB turut tampil mengadakan persembahan eksklusif di situ yang menggambarkan ketukan kapak Wu Gang dalam bentuk paluan dram yang bertenaga.














