DI hujung 90 minit yang penuh debar, lahirlah satu detik abadi dalam sejarah bola sepak wanita negara.
Henrietta Justine muncul wira apabila tampil sebagai pemecah kebuntuan pada minit ke-82, memanfaatkan kekeliruan di benteng pertahanan Tajikistan untuk merobek gawang lawan.
Jaringan tunggal itu memastikan kemenangan tipis 1-0 buat Malayan Tigress dalam aksi Kelayakan Piala Asia Wanita Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Dushanbe, Tajikistan pada Julai lalu.
Detik itu menjadi momen paling membanggakan bagi anak kelahiran Sabah tersebut kerana menjadi penentu kemenangan dan bukti kemampuan Malayan Tigress.
Gol tunggal itu menghadiahkan Malaysia tiga mata penuh, sekali gus membuktikan skuad negara mampu bersaing walaupun bukan pasukan gergasi Asia.
Henrietta mengakui gol tersebut cukup bermakna buat dirinya kerana selain memastikan kemenangan, ia juga menjadi simbol kebangkitan skuad wanita negara.
“Saya bangga sangat dapat jaringkan gol kemenangan masa lawan Tajikistan. Itu gol tunggal yang tentukan keputusan, dan bagi saya ia bukan sekadar tiga mata, tapi bukti yang Malaysia juga mampu bersaing.
“Sebagai pemain, dapat menyumbang sesuatu untuk negara memang satu kebanggaan besar,” kata Henrietta, 23, kepada K-Remaja.
Henrietta, gadis berasal dari Tambunan yang digelar sebagai ‘Diamond of Sabah’ itu adalah antara bintang bola sepak wanita kebangsaan yang menyinar di lapangan.
Selain di Piala Asia AFC, Sumandak Tambunan itu juga pernah wakili Malayan Tigress pada Sukan SEA 2023 di Kemboja.
Pada 2022, Henrietta muncul sebagai wira apabila membantu Negeri Sembilan Women’s FC menjuarai edisi sulung Liga Super Wanita Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dengan sumbangan tujuh gol dan enam bantuan jaringan, sekali gus dinobatkan Pemain Paling Bernilai (MVP) liga.
Pada tahun sama, graduan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu turut bergelar penjaring terbanyak Piala Tun Sharifah Rodziah selepas meledak tujuh gol untuk membantu Sabah menamatkan saingan di tempat ketiga.
Di pentas Liga Wanita Nasional, Henrietta terus menyerlah dengan merekodkan empat gol bersama Kelana United pada musim 2023.
Dia kemudian kembali bersama Sabah FA dan menjaringkan sepuluh gol pada musim 2024 untuk muncul sebagai penjaring kedua terbanyak liga.
Pada musim 2025, Henrietta kekal konsisten sebagai salah seorang penjaring utama apabila sekali lagi menyumbang empat gol bersama Sabah FA.
Mengimbau kembali saat pertama meminati sukan bola sepak, Henrietta berkata, dia sering bermain bola sepak sejak usia enam tahun bersama abang-abangnya.
“Di usia enam tahun, saya sudah mula berjinak-jinak main bola sepak bersama abang-abang saya serta rakan-rakan mereka.
“Kemudian masa sekolah rendah, saya bersama pasukan bola sepak perempuan. Dari situlah saya mula aktif.
“Di sekolah menengah, saya dipilih untuk masuk Sekolah Sukan Malaysia Sabah. Dari situlah, saya dipilih untuk masuk pasukan remaja kebangsaan,” katanya.
Henrietta melalui perjalanan yang unik dalam membentuk identiti sebagai seorang pemain bola sepak.
Sejak awal, anak ketiga daripada lapan beradik tersebut pernah merasai pengalaman beraksi di pelbagai posisi, termasuk sebagai pertahanan dan pemain tengah, sebelum akhirnya menemui keserasian di bahagian serangan.
Kini, dia kekal di posisi penyerang (striker), tempat yang membolehkannya memanfaatkan kelajuan, ketajaman penyudah, serta naluri mencari ruang di hadapan gawang lawan.
Lebih daripada sekadar penyerang, Henrietta dikenali rakan sepasukan dan jurulatih sebagai seorang pemain yang sentiasa bekerja keras di padang.
Tenaganya lazim tidak pernah luntur sepanjang 90 minit, malah dia konsisten memberikan komitmen sepenuhnya setiap kali diturunkan.
Sifatnya yang rajin mengejar bola, berani mencabar benteng lawan, dan tidak mudah berputus asa menjadikan dirinya antara tonggak penting dalam pasukan.
Dalam rutin hariannya, Henrietta memulakan pagi dengan berjoging sebagai asas kecergasan.
Pada sebelah petang pula, dia mengikuti sesi latihan bersama pasukan, manakala pada waktu tertentu dia turut menambah latihan di gimnasium selama dua hingga tiga jam bagi meningkatkan kekuatan fizikal.

Dari segi pemakanan, Henrietta tidak mengamalkan diet yang terlalu ketat dan biasanya makan tiga hingga empat jam sebelum perlawanan.
Katanya, dia turut memberi perhatian kepada pengambilan air yang mencukupi untuk memastikan tubuh sentiasa bertenaga dan terhidrat dengan baik.
“Setiap pagi, saya joging sejauh lima kilometer. Petang, training sama team. Kadang-kadang saya buat gim, dua sampai tiga jam.
“Dari segi pemakanan, saya makan tiga atau empat jam sebelum perlawanan, minum banyak air. Saya tidak ada diet yang ketat,” katanya.
Selain latihan di padang, Henrietta juga mempunyai ritual tersendiri sebelum turun beraksi di kejohanan-kejohanan besar.
Dia gemar mengenakan solekan dan berhias ringkas kerana percaya cara itu dapat meningkatkan keyakinan dirinya ketika berada di padang.
Katanya, antara satu hingga dua jam diperuntukkan sebelum perlawanan untuk persiapan diri sambil menenangkan fikiran dan membina keyakinan.
“Saya rasa bila kita jaga penampilan, secara automatik kita rasa lebih yakin dengan diri. Biasanya, sebelum match, kita ada masa lebih kurang satu sampai dua jam untuk bersiap.
“Jadi, saya gunakan masa itu untuk make-up sikit sebelum panaskan badan. Itu juga cara saya tenangkan diri,” katanya.
Selain itu, Sumandak Tambunan itu juga pernah berdepan peluang besar untuk mengembangkan kerjaya di peringkat antarabangsa apabila ditawarkan menyertai sebuah kelab di Bhutan.
Namun, peluang tersebut tidak dapat direalisasikan kerana waktu itu dia sudah terikat kontrak dengan pasukan Sabah.
Ini menjadikan komitmen terhadap pasukan tempatan sebagai keutamaan dalam perjalanan kerjayanya buat masa ini.
Walaupun peluang di rantauan berisiko, Henrietta tetap berharap suatu hari nanti dapat mencuba nasib dan menimba pengalaman bersama kelab luar negara.
“Saya pernah dapat tawaran dari kelab Bhutan. Tapi pada waktu itu, saya sudah tandatangan dengan pasukan Sabah.
“Walaupun bermain di luar negara berpotensi untuk saya habiskan masa di bangku simpanan sebab kita tak tahu sistem mereka, saya harap suatu hari nanti akan berpeluang cuba nasib dan menimba pengalaman kelab luar negara,” katanya.














