fbpx
MUARA cetek memberi kesan kepada nelayan di Sungai Ular untuk keluar ke laut.

Muara cetek: Hidup nelayan makin terhimpit, ada hilang nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Nelayan di empat sungai utama di daerah ini semakin terhimpit apabila muara sungai yang menjadi laluan ke­luar masuk bot ke laut kini semakin cetek, sekali gus menjejaskan mata pencarian mereka.

Masalah yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu itu membabitkan muara di Balok, Sungai Ular, Cherating dan Chedor di sini yang menjadi nadi kepada lebih 500 nelayan.

Lebih membimbangkan, keada­an itu bukan sahaja memberi kesan kepada hasil tangkapan, malah turut mengancam keselamatan nelayan yang terpaksa mengambil risiko menyusur laluan sempit, berjalan kaki mengharung air, malah ada yang terpaksa tidur di dalam bot.

Tinjauan Kosmo! di muara Sungai Ular dan Chendor mendapati, beberapa nelayan terpaksa bersusah payah menolak bot mereka untuk keluar ke laut dan ketika pulang ke jeti.

Ada dalam kalangan mereka terpaksa beberapa kali berhenti kerana kepenatan, lebih-lebih lagi kebanyakan nelayan itu berusia lebih separuh abad.

Ketua Nelayan Balok, Kamarul Shah Mohamed berkata, masalah itu sudah berlarutan terlalu lama tanpa ada sebarang penyelesaian yang berkesan.

Menceritakan cabaran dihadapi nelayan Balok, Kamarul berkata, dia dan beberapa rakan lain terpaksa tidur di dalam bot sejak dua minggu lalu kerana terpaksa keluar awal ke laut bagi mengelak air surut.

“Sekarang ini air surut pada waktu pagi, jadi kami akan ­datang ke jeti kira-kira pukul 11 malam dan tidur di dalam bot supaya esoknya kami dapat keluar lebih awal,” katanya.

Beliau berkata, nelayan di kampung berkenaan berharap pihak berwajib dapat memberi pencerahan mengenai peranca­ngan atau tindakan bagi mengatasi masalah itu.

Sementara itu, nelayan Su­ngai Ular, Mohd. Rozli Rameli, 43, berkata, masalah muara cetek telah meragut nyawa adiknya dan berharap kejadian seumpama itu tidak berulang.

“Arwah lemas ketika cuba berenang ke darat selepas me­labuhkan bot di laut gara-gara bot tidak dapat dibawa masuk ke jeti akibat muara cetek,” katanya ketika mengenang tragedi tiga tahun lalu.

Jelasnya lagi, nelayan di kampung berkenaan terpaksa mengambil inisiatif sendiri de­ngan membina perahu kecil dipanggil jongkong yang digunakan untuk pengangkutan selepas melabuhkan bot di laut.

“Setakat ini sudah dua kali muara sungai ini di korek dan yang terakhir pada hujung tahun lalu, namun usaha itu sia-sia malah masalah menjadi semakin buruk.

“Pasir yang ditimbun telah dibawa ombak besar dan air deras pada musim tengkujuh tahun lalu menyebabkan beting pasir semakin menutup muara sungai ini,” katanya.

Dalam pada itu, isu berkenaan pernah dibawa ke Dewan Rakyat pada tahun lalu dan kementerian berkaitan telah mengumumkan bahawa kerja pengorekan muara Sungai Ular dan Sungai Balok akan dilaksanakan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membabitkan peruntukkan sebanyak RM200,000.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN