PETALING JAYA – Jika dahulu sukar untuk melihat kelibat buaya di sungai-sungai di Pahang dan Negeri Sembilan, namun kini reptilia itu mudah dilihat.
Malah, ada buaya yang turut dilihat di kawasan parit dan berjemur di tebing-tebing sungai.
Di Kuantan, kelibat sang bedal sering dilihat di Sungai Kuantan, Sungai Belat dan Sungai Soi di sini.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Rozidan Md. Yasin berkata, pihaknya menerima peningkatan laporan penampakan buaya daripada orang awam khususnya di sekitar tebing Sungai Kuantan.
“Ia mungkin disebabkan beberapa faktor seperti perubahan habitat, faktor makanan dan gangguan manusia yang menyebabkan buaya keluar dari habitat asal.
“Berdasarkan pemantauan Perhilitan di Sungai Kuantan, kekerapan melihat kelibatnya adalah tinggi berbanding sungai-sungai lain,” katanya.
Menurutnya, spesies buaya yang dikenal pasti mendiami Sungai Kuantan ialah buaya tembaga atau crocodylus porosus iaitu spesies buaya air masin yang mampu hidup di kawasan sungai dan muara.
Katanya, spesies itu mempunyai tabiat separa nomadik dan sering bergerak mengikut perubahan habitat serta ketersediaan sumber makanan.
“Kejadian air pasang menyebabkan air laut melepasi ban sedia ada dan melimpah ke kawasan berhampiran juga menyebabkan kewujudan buaya dapat dilihat di banyak tempat.
“Ada beberapa sungai yang melimpah airnya dan menyebabkan spesies hidupan liar seperti buaya akan bergerak dari satu sungai ke sungai lain,” katanya.

Di Port Dickson, Perhilitan Negeri Sembilan memaklumkan pada tahun ini, empat aduan berkaitan buaya diterima berbanding satu aduan tahun lalu.
Menurutnya, antara faktor yang menjadi penyumbang kepada peningkatan aduan buaya ialah kenaikan paras air sungai akibat banjir atau hujan lebat.
“Ini menyebabkan buaya dari habitat sungai terkeluar ke laut atau naik ke permukaan jalan seperti yang pernah berlaku di Pekan Linggi dekat sini,” katanya.
Menurutnya, pertambahan populasi buaya di sepanjang Sungai Linggi mendorong kepada perluasan kawasan rayau bagi buaya dari habitat asal untuk mengelakkan persaingan dalam mencari makanan, pasangan serta kawasan untuk bertelur.
“Ketika musim pembiakan, buaya tembaga (terutama betina) akan keluar ke daratan berhampiran sungai untuk buat sarang di tebing atau daratan,” katanya.
Menurutnya, keadaan itu boleh menyebabkan peningkatan risiko pertembungan dengan manusia yang menjalankan aktiviti di sepanjang tebing sungai.
“Setiap kali, pihak kami menerima aduan, kita akan segera melakukan pemantauan dan pengesanan seperti aduan buaya di Pantai Cermin, Port Dickson pada Februari lalu.
“Anggota serta pegawai akan segera ke lokasi untuk siasatan dan membuat pemerhatian corak pergerakannya.
“Buaya yang masuk ke perangkap akan dipindahkan ke Paya Indah Wetland di Dengkil,” katanya.
Menurutnya, jumlah sang bedal sukar dianggarkan kerana melibatkan tempoh yang panjang bagi penandaan setiap ekor buaya.














