fbpx
Hubungan seks bebas dianggap sebagai satu kebiasaan dalam kehidupan di zaman moden. - Gambar hiasan

Seks bebas punca utama Aids merebak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MUTAKHIR ini peningkatan kes HIV dalam kalangan remaja dan belia amat membimbangkan.

Malah, sebanyak 222 kes baharu jangkitan HIV dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) direkodkan tahun lalu, melibatkan golongan muda seawal usia 18 dan 19 tahun.

Majlis Aids Malaysia (MAC) mendedahkan bahawa remaja dan belia di bawah 30 tahun kini menjadi golongan paling berisiko tinggi jangkitan HIV di negara ini.

Setiausaha Kehormat MAC, Dr. Zaiton Yahya berkata, kebanyakan kes baharu adalah dalam kalangan remaja lepasan sekolah dan universiti.

Menurutnya, golongan muda kebanyakannya tidak mengetahui kesan yang mereka hadapi tetapi mereka cenderung untuk terlibat dengan tingkah laku berisiko tinggi.

“Walaupun kes berkaitan penggunaan dadah dan perkongsian jarum suntikan menunjukkan penurunan, namun sebaliknya bagi kes jangkitan melalui aktiviti seksual.

“Masa kita bagi jarum baharu untuk mengelakkan perkongsian antara penagih, kita dapat lihat kes berkurangan, tetapi kes melalui hubungan seksual pula semakin meningkat,” katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr. Ariyanti Mustapha berkata, normalisasi maksiat dalam kalangan remaja menjadi antara punca utama berlakunya pelbagai kegiatan aktiviti yang tidak bermoral.

Menurutnya, hubungan seks bebas dianggap sebagai satu kebiasaan dalam kehidupan di zaman moden.

“Pengaruh media sosial serta kebebasan remaja melayari video lucah turut menyumbang kepada peningkatan kes HIV yang direkodkan sebagai membimbangkan kerana melibatkan golongan remaja dalam kalangan pelajar IPT yang berpotensi untuk menjadi belia yang cemerlang terhadap diri, keluarga dan masyarakat.

“Pendedahan peningkatan kes HIV dalam kalangan pelajar seperti yang dilaporkan baru-baru ini perlu dilihat sebagai tanggungjawab sosial yang perlu diterjemahkan dalam bentuk langkah-langkah intervensi untuk mengawal dan mencegah salah laku dalam kalangan remaja,” katanya.

Dalam hal ini, antara institusi yang berperanan penting sebagai sistem sokongan adalah institusi kekeluargaan yang merupakan kelompok yang paling rapat dengan golongan remaja.

Ariyanti menjelaskan, sikap remaja di era teknologi yang lebih banyak menggunakan gajet sebagai medan komunikasi dan eksplorasi perlu diseimbangkan dengan komunikasi fizikal dengan ahli keluarga.

“Setiap ahli keluarga memainkan peranan penting untuk mengukuhkan nilai-nilai moral dan agama sebagai asas penting kehidupan serta mewujudkan interaksi mesra tanpa gajet dalam kalangan anak-anak.

“Sikap mengambil mudah untuk memahami, mendalami dan mempraktikkan asas agama dalam kehidupan menjadi punca kepada peningkatan salah laku dalam kalangan remaja,” jelasnya.

Tambahnya, oleh itu peranan ibu bapa adalah sangat penting sebagai ‘CCTV’ dalam mengenal pasti perubahan emosi dan tingkah laku anak-anak dari peringkat kanak-kanak hingga remaja.

Selain itu, intervensi paling signifikan dalam menangani gejala tidak bermoral dalam kalangan remaja ialah melalui pemantapan kesedaran keberagamaan yang berfungsi sebagai benteng diri daripada terjebak dengan aktiviti tidak bermoral.

Kehidupan beragama merupakan asas penting yang membimbing tingkah laku manusia, kerana setiap agama yang diiktiraf menekankan prinsip etika, seperti berbuat kebaikan dan menjauhi kemudaratan terhadap diri serta masyarakat.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN