PETALING JAYA – Seorang lelaki warga asing yang ditahan sebelum ini selepas disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang pelajar wanita di Bandar Sunway, di sini bakal dituduh di mahkamah, esok.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pertuduhan ke atas suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.
“Suspek dijangka dibawa ke mahkamah esok kira-kira pukul 9 pagi untuk pertuduhan,” katanya ringkas, hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang wanita warga asing ditemukan tidak bernyawa dengan beberapa kesan kecederaan pada badan dalam kejadian di sebuah kondominium di Bandar Sunway, di sini, pada 23 Jun lalu.
Mangsa berusia 20-an merupakan seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang terletak di daerah ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenda M. Hussin Sollehuddin Zolkifly dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira pukul 11.03 pagi.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan pada tubuh badan mangsa.
Suspek berusia lingkungan 20-an yang juga pelajar IPTS kemudian ditahan oleh polis di lokasi yang sama.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE














