fbpx
BAGI mereka yang gemarkan suasana sederhana, Phatthalung menawarkan lebih daripada sekadar destinasi percutian.

Menyusuri alam, tradisi Phatthalung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERPELUANG bercuti selama tiga hari dua malam di Phatthalung, Selatan Thailand telah membuka mata saya terhadap keunikan budaya dan keindahan alam semula jadi yang masih terpelihara di sana. 

Sebuah wilayah yang tenang, Phatthalung terletak kira-kira satu jam 35 minit perjalanan dari bandar Hatyai.

Bagi mereka yang gemarkan suasana sederhana, Phatthalung menawarkan lebih daripada sekadar destinasi percutian.

Hal ini kerana anda berpeluang menyelami cara hidup masyarakat setempat yang masih mengekalkan tradisi lama.

Aktiviti pertama yang paling memberi kesan kepada saya adalah menyaksikan masyarakat tempatan menangkap ikan secara tradisional.  

Ketika matahari mula terbit, saya dibawa menaiki sampan menyusuri Tasik Thale Noi yang menjadi nadi di Taman Negara Thale Noi. 

Di sini, saya berpeluang menyaksikan penduduk tempatan menangkap ikan menggunakan jaring besar yang diangkat secara manual dari pondok kecil di atas air.

Panorama yang terbentang di depan mata sungguh menenangkan. Saya juga dapat belajar betapa eratnya hubungan masyarakat di sini dengan alam sekitar. 

Mereka tidak bergantung pada teknologi moden, sebaliknya terus mewarisi kaedah yang telah digunakan sejak turun-temurun. 

Situasi ini sangat menyentuh jiwa kerana menggambarkan kehidupan yang sederhana, tetapi kaya nilai tradisi.

Pengalaman menyaksikan matahari terbenam di Taman Negara Thale Noi merupakan sebuah memori yang mengasyikkan.

Kawasan ini merupakan sebuah lokasi yang cukup terkenal dengan hamparan bunga teratai memenuhi permukaan tasik. 

Walaupun dikenali ramai sebagai lokasi untuk melihat matahari terbit, namun pemandu pelancong kami menawarkan pengalaman melihat matahari terbenam terlebih dahulu.

Disebabkan harga yang ditawarkan tidak terlalu mahal, maka kami bersetuju untuk kembali semula keesokan harinya bagi menyaksikan matahari terbit. 

Dengan bayaran sekitar 1,200 baht (RM156) untuk enam orang, saya dan keluarga berpeluang menikmati pemandangan matahari terbenam sambil duduk di atas bot yang menyusuri tasik dipenuhi bunga teratai. 

PATTHALUNG terletak kira-kira satu jam 35 minit perjalanan dari bandar Hatyai.

Cahaya keemasan yang memantul di permukaan air serta tiupan angin benar-benar membuai perasaan. 

Dalam suasana sunyi dan damai itu, kami terlihat burung air berterbangan sambil beberapa lagi penduduk kampung sedang menangkap ikan.

Menariknya, di tengah-tengah kawasan kampung dikelilingi alam semula jadi itu, terselit sebuah cawangan kedai serbaneka. 

Jika di Jepun menghidangkan pemandangan kedai serbaneka berlatarbelakangkan Gunung Fuji, di Phatthalung pula ada Gunung Khao Ok Thalu yang tidak kurang hebatnya.

Dengan reka bentuk moden, bersih dan lengkap dengan tempat duduk, kedai serbaneka itu menjadi tempat ideal untuk berehat selepas seharian meneroka kawasan sekitar.

Meskipun ini hanya satu percutian singkat, namun ia memberikan perspektif baharu tentang masyarakat luar bandar di Thailand.

Mereka masih mengekalkan tradisi lama sambil perlahan-lahan menerima unsur moden. 

Bagi saya, Phatthalung bukan sekadar destinasi pelancongan biasa, sebaliknya ia adalah cerminan keseimbangan antara alam, budaya dan kehidupan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN