Lebih kurang pukul 3 petang, barulah kami sampai di bandar Kuala Terengganu setelah memandu selama lima jam dari Kuala Lumpur.
Selesai memenuhi selera perut yang berkeroncong di Warong Pok Nong, kami terus menuju ke tempat penginapan malam itu untuk berehat dan mengumpul tenaga secukupnya.
Kami akan naik bot di jeti Seberang Takir pada pukul 5 petang, jadi sempat untuk singgah di sebuah kedai alatan pancing, Tropica Tackle.
Ketika melangkah masuk ke kedai itu, didapati suasananya berbeza dengan kedai-kedai pancing di Lembah Klang. Rata-rata produk di rak, khusus untuk mencandat sotong.
Daripada candat Vietnam jenis berat yang selalunya menjadi pemberat utama, sehinggalah ke candat premium berjenama seperti Yozuri, Duel, Yamashita dan sebagainya.
Ia hadir dengan pelbagai warna dan saiz yang semuanya mampu membuatkan kita rambang mata.
Kakitangan kedai juga sangat ramah dan tidak lokek berkongsi ilmu, mereka banyak membantu saya yang masih ‘hijau’ dalam membuat pembelian dan persiapan eging.
Rupa-rupanya, set eging yang saya bawa bakal berdepan masalah kekurangan kuasa (under powered).
Bayangkan, candat Vietnam saja sudah mencecah berat 100 gram, manakala saya hanya membawa sebatang joran light jigging berkekuatan 6-12 paun (lb).
Mahu tidak mahu, peralatan harus ditambah mengikut kesesuaian demi mengelakkan sebarang tragedi joran patah di tengah laut.
Aura tongkang kayu
Selepas itu, kami pulang ke penginapan untuk melakukan persiapan terakhir. Ketua trip, Abang Sharif bersama anak watan Kuala Terengganu, Zulfadhli Wahab menjadi ‘orang kuat’. Segala urusan koordinasi berjalan lancar di bawah seliaan mereka.
Pada pukul 5 petang, kami tiba di Jeti Seberang Takir. Detik kaki melangkah ke dalam bot, saya terpaku seketika.
Bot yang kami naiki bukanlah bot gentian kaca biasa, ia sebuah tongkang kayu bersaiz mega.
Sebelum ini, saya hanya melihat gambar tongkang sebegini di media sosial dan keratan akhbar, namun apabila berada di atas deknya, auranya sangat berbeza.
Saiznya yang besar dan ruang yang sangat luas memberikan keselesaan maksimum.
Jika mahu dibandingkan dengan bot jigging biasa yang sering saya guna, perbezaannya ibarat langit dengan bumi, tiada lagi istilah ‘sempit hingga bersiku’.
Tongkang mula bergerak perlahan meninggalkan muara menuju ke lubuk yang terletak kira-kira 60 kilometer dari daratan. Perjalanan keluar dari muara Sungai Terengganu itu dinobatkan sebagai antara pemandangan paling indah yang pernah saya saksikan.
Berlatarkan keindahan Jambatan Angkat (Drawbridge) yang menjadi ikon negeri, sang suria mula melabuhkan tirainya. Saya termenung seketika, melayan emosi menyaksikan keindahan sunset yang mendamaikan jiwa.
Kejutan pertama
Jam menunjukkan pukul 7.45 malam apabila tongkang sampai ke destinasi dan sauh terus dilabuhkan. Lampu limpah dinyalakan, memancarkan cahaya hijau yang memukau.
Saya memulakan aktiviti mencandat dengan harapan yang membumbung tinggi. Sebaik sahaja candat dilepaskan buat kali pertama ke dasar laut, saya merasakan satu rentapan kasar dan berat.
Namun, henjutan di hujung tali terasa sedikit aneh, ia terlalu agresif untuk seekor sotong. Apabila mangsa berjaya dinaikkan ke permukaan, rupa-rupanya ia seekor ikan tongkol.

Dada berdegup kencang, bukan sahaja kerana penangan ikan tersebut, tetapi kerana bimbang jika tali pancing bersilang dengan pemanÂcing lain. Maklumlah, trip ini meriah dengan kehadiran 10 orang peserta bersama lima orang awak-awak.
Bagaimanapun, selepas kejutan awal itu, suasana kembali sepi. Rentak permainan mula kendur. Dari pukul 8 sehinggalah 9 malam, saya langsung tidak mendapat walau seekor pun sotong.
Rakan-rakan lain juga kelihatan termenung menunggu kehadiran kawanan sotong yang masih belum memunculkan diri.
Menemui rentak
Suasana sepi itu berubah sepenuhnya apabila jarum jam melepasi pukul 10 malam. Arus yang awal tadinya laju, mula stabil. Pada waktu inilah, saya mula menemui rentak mencandat yang sebenar.
Memandangkan sebelum ini saya lebih kepada main slow jigging, gaya jigging tersebut dilakukan untuk mencandat. Candat ditenggelamkan mencecah dasar, kemudian barulah dihenjut naik turun secara perlaÂhan-lahan ke atas dan ke bawah.
Di dalam minda, saya membayangkan bagaimana pergerakan candat itu melompat-lompat di dasar laut untuk menggoda sotong.
Ternyata, strategi itu membuahkan hasil yang lumayan, seekor demi seekor sotong jarum bersaiz comel berjaya didaratkan.
Kawanan sotong bersaiz mega pula mula aktif di sekeliling bot. Istilah ‘sotong makan keliling’ kelihatan apabila kesemua pemancing di atas bot serentak menaikkan hasil.
Sedar tidak sedar, masa berlalu dengan pantas dan jam sudah pun menunjukkan pukul 2 pagi.
Pada waktu ini, awak-awak bot menyajikan hidangan wajib bagi setiap trip mencandat iaitu mi segera dengan lauk sotong segar.
Santai tetapi berbisa
Semakin menghampiri subuh, kumpulan sotong menjadi semakin galak.
Kami mengutip hasil tanpa mengenali jemu.
Di sinilah saya menyedari satu perbezaan ketara antara aktiviti mencandat berbanding jigging atau bottom drift.
Aktiviti mencandat sebenarnya jauh lebih santai. Tiada keperluan untuk melakukan hayunan joran yang agresif atau karauan laju yang memenatkan tangan.
Cukup sekadar menghenjut joran perlahan dan mengarau tali dengan penuh kesabaran, sang sotong pasti akan melekat pada mata candat yang tajam.
Seiring dengan laungan azan subuh yang berkumandang sayup-sayup dari daratan, kumpulan sotong mula menghilang. Sauh dinaikkan dan bermulanya perjalanan balik ke jeti.
Semua orang mengantuk dan kepenatan, tetapi pulang dengan hasil sotong hampir mencecah 80 kilogram.
















