SELANGOR merupakan salah satu negeri di Malaysia yang mempunyai penduduk yang padat. Bukan sahaja menjadi antara tumpuan perantau, negeri ini juga sebenarnya kaya dengan destinasi percutian dan produk pelancongan.
Bahkan, berdasarkan satu kenyataan baru-baru ini, Selangor didapati sekali lagi membuktikan kedudukannya sebagai negeri paling banyak dilawati di Malaysia dengan mencatatkan jumlah pelawat sebanyak 34.5 juta orang pada tahun lalu.
Menurut laporan terkini oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Selangor telah mengatasi Kuala Lumpur dengan 27 juta pelawat dan ikuti Perak iaitu 21.8 juta pelawat.
Justeru, Selangor mengekalkan kedudukannya sebagai negeri paling ramai pengunjung selama empat tahun berturut-turut sejak 2021.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding tahun 2023, dengan Selangor menerima 27.6 juta pelawat.
Antara pemacu utama pertumbuhan itu adalah pengenalan produk dan pengalaman pelancongan baharu di seluruh Selangor sejak tahun lalu seperti SplashMania Waterpark di Dengkil, Skyline Luge di Rawang, The Hillock Hulu Tamu di Batang Kali, Beacons Resort di Hulu Selangor dan banyak lagi.
Tarikan-tarikan tersebut turut disokong oleh acara berimpak tinggi seperti Konsert Mega Tahun Melawat Selangor 2025, MotoGP Malaysia, Petaling Jaya Half Marathon dan lain-lain.
Pada masa sama, Selangor turut menyaksikan peningkatan berterusan dalam segmen pelancongan, khususnya pelancongan perubatan, pelancongan golf, pelancongan pendidikan, agropelancongan dan ekopelancongan.
Pihak berkuasa tempatan, pengusaha pelancongan dan rakan industri turut memainkan peranan penting. Ini sekali gus mewujudkan ekosistem pelancongan dinamik yang mampu menarik kehadiran pelawat tempatan serta antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling berkata, pihaknya sedang menggandakan usaha menjelang separuh kedua tahun ini.
Ujarnya, usaha tersebut merangkumi pelancaran Geran Tahun Melawat Selangor 2025 yang akan menawarkan penajaan sehingga RM300,000 bagi lebih 30 acara dan projek berkaitan pelancongan.
Selain itu, program Hos Komuniti Selangor telah diaktifkan semula dengan pelantikan 50 hos komuniti di Kuala Selangor dan Sabak Bernam.
“Kami yakin, lebih banyak program pelancongan secara kolaboratif akan terbentuk.
“Kerjasama awam-swasta bersama jenama seperti Sony Malaysia, Batik Air, Cuckoo dan AVIS Malaysia juga telah buka jalan kepada pelaksanaan kempen pelancongan berimpak tinggi,” ujar Yee Ling.














