ASSALAMUALAIKUM, apakah hukum isteri cabar atau mendesak suami jatuhkan talak ketika mereka bergaduh? Mohon penjelasan ustaz.
JAWAPAN: Setiap pasangan suami isteri pasti akan menghadapi pertelingkahan dalam kehidupan berumah tangga bak kata pepatah Melayu, ‘sedangkan lidah lagi tergigit’.
Sebaiknya dalam menyelesaikan pertelingkahan, suami dan isteri hendaklah berusaha untuk mencari jalan penyelesaian dengan cara yang terbaik.
Berkemungkinan masalah yang dihadapi boleh diselesaikan dengan perbincangan damai tanpa perlu kepada topik perceraian atau seumpama dengannya.
Mencabar suami untuk bercerai ketika bergaduh akan menyebabkan suami melafazkan talak dalam keadaan marah.
Lebih dirisaukan apabila isteri dengan mudah meminta diceraikan sedangkan suami tidak melakukan perbuatan yang bercanggah dengan hukum syarak.
Hal ini kerana Rasulullah SAW melarang seorang isteri meminta suami menceraikannya tanpa alasan yang kukuh dan dibenarkan syarak, sebagaimana sabda Baginda SAW: “Mana-mana wanita yang meminta talak daripada suaminya tanpa alasan yang munasabah, maka haram baginya bau syurga.” (Riwayat Abu Daud)
Selain itu, dikhuatiri isteri yang mencabar suami untuk bercerai boleh dianggap nusyuz.
Walaupun suami tidak boleh sewenang-wenangnya menggelarkan isteri nusyuz, namun dengan situasi seperti ini berkemungkinan suami boleh memfailkan kes nusyuz di mahkamah sehingga menyebabkan banyak kesan negatif lain bakal menyusul.
Oleh yang demikian, apabila berlaku keadaan cabar-mencabar seperti ini, sabar dan diam itu lebih baik daripada berbalas kata sehingga terlafaz talak kerana terlampau mengikut perasaan tercabar dan marah.
Selain itu, perbincangan secara damai antara kedua-dua belah pihak sangat digalakkan apabila berlaku pertikaian dalam urusan rumah tangga.
Pasangan suami isteri boleh mendapatkan bantuan orang tengah atau mediator sekiranya pertelingkahan yang berlaku tidak mampu diselesaikan.
Ini berdasarkan firman Allah SWT: “Dan jika kamu bimbangkan perpecahan antara mereka berdua (suami isteri), maka lantiklah ‘orang tengah’ (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang daripada keluarga lelaki dan seorang daripada keluarga perempuan. Jika kedua-dua orang tengah itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuan-Nya.” (Surah al-Nisa’: 35)
Bagaimanapun, terdapat situasi isteri boleh meminta perceraian sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT berikut: “Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu).” (Surah al-Baqarah : 229)
Berdasarkan ayat al-Quran di atas, isteri mempunyai hak untuk memohon khuluk iaitu menebus talak dengan sesuatu gantian di Mahkamah Syariah.
Begitu juga isteri boleh membuat permohonan fasakh jika masalah antara suami isteri dilihat tidak boleh lagi diperbaiki, malah akan ada kemudaratan yang lebih besar sekiranya perkahwinan diteruskan.
Oleh itu, dalam Islam, isteri tidak boleh bermudah-mudah meminta suami menceraikannya tanpa alasan yang dibenarkan oleh syarak, lebih-lebih lagi mencabar suami melafazkan talak.
Dinasihatkan untuk berbincang dengan baik dan mendapatkan khidmat sulh (perdamaian) atau kaunseling sekiranya berlaku salah faham atau pertelingkahan antara satu sama lain.
Bagaimanapun, isteri boleh memohon fasakh atau khuluk di mahkamah syariah sekiranya terdapat alasan dan sebab kukuh yang diterima syarak untuk bercerai seperti isteri dianiaya atau dizalimi oleh suami.














