“REMAJA hari ini adalah pemimpin masa depan. Apa yang mereka hirup hari ini, menentukan apa yang akan mereka hembuskan kepada masyarakat esok.”
Kenyataan ini bukan sekadar metafora, tetapi hakikat yang semakin jelas terpampang apabila kita melihat realiti semasa. Dalam dunia yang semakin mencabar dan kompleks, setiap keputusan dan gaya hidup yang dipilih oleh generasi muda hari ini bakal membentuk landskap sosial, ekonomi dan moral negara pada masa akan datang.
Namun malangnya, harapan ini sedang digugat oleh satu budaya baharu yang menular secara senyap tetapi merosakkan — iaitu budaya menghisap rokok elektronik atau vape dalam kalangan remaja. Isu ini bukan lagi terpencil. Ia telah menyelinap masuk ke dalam bilik darjah, ke tandas sekolah, malah ke dalam sistem nilai remaja sendiri.
Di Perlis misalnya, dalam tahun ini sahaja terdapat dua kes berkaitan pelajar dan vape iaitu kes pelajar terjatuh bangunan sekolah dan pelajar pengsan selepas menghisap vape di tandas sekolah.
Beberapa negeri lain turut melaporkan berkaitan kes keracunan vape dan penularan isu vape dalam kalangan remaja perempuan.
Tidakkah kes-kes serta kejadian yang dilaporkan ini mampu membuka mata kita bahawa gejala ini bukan sekadar isu disiplin, tetapi sudah menjadi krisis pembangunan modal insan negara.
Fenomena ini harus dilihat lebih jauh daripada sekadar isu kesihatan. Ia sebenarnya merupakan ancaman terhadap pembangunan modal insan negara.
Jika remaja hari ini dibentuk dalam persekitaran yang membenarkan ketagihan seperti ini berleluasa, maka masa depan negara akan diwarisi oleh generasi yang lemah dari segi fizikal, mental, emosi dan moral.
Vaping dilihat menarik dalam kalangan remaja atas beberapa faktor. Pertama, reka bentuk vape yang moden dan mudah dibawa menjadikannya sukar dikesan oleh pihak sekolah dan ibu bapa.
Kedua, pelbagai perisa yang manis seperti strawberi, coklat dan vanila menjadikan vape lebih mesra deria dan kelihatan ‘tidak berbahaya’. Ketiga, pemasaran yang halus melalui media sosial oleh influencer yang disanjungi remaja, secara tidak langsung mempromosikan budaya ini sebagai gaya hidup yang ‘cool’ dan ‘terkini’.
Tidak selamat
Namun begitu, hakikat yang perlu difahami ialah vape sebenarnya tidak selamat. Ia mengandungi nikotin yang sangat tinggi, bahkan ada kajian menunjukkan bahawa sesetengah peranti vape mengandungi lebih banyak nikotin berbanding sebatang rokok biasa. Nikotin bukan sahaja menyebabkan ketagihan, malah mengganggu perkembangan otak remaja, terutama dalam aspek memori, tumpuan dan kawalan emosi.
Selain itu, penggunaan vape dalam jangka masa panjang boleh menyebabkan kerosakan paru-paru yang dikenali sebagai EVALI (E-cigarette or Vaping Use-Associated Lung Injury), dan dalam kes yang melampau, boleh membawa maut.
Dari segi sosial, ketagihan terhadap vape boleh merosakkan kehidupan pelajar. Ia sering membawa kepada masalah disiplin, seperti ponteng kelas, mencuri wang untuk membeli peranti vape atau terlibat dengan kumpulan remaja bermasalah.
Malah, kajian juga menunjukkan bahawa penggunaan vape meningkatkan kecenderungan remaja untuk beralih kepada rokok konvensional dan bahan terlarang lain.
Dalam konteks pembangunan modal insan, tabiat ini menjadi batu penghalang besar. Remaja yang sihat, berdisiplin dan berwawasan adalah tulang belakang masa depan negara.
Ketika negara menumpukan usaha membina generasi berilmu dan berakhlak, budaya vaping ibarat virus yang perlahan-lahan menghakis kekuatan ini dari dalam.
Bagaimana mungkin kita dapat melahirkan jurutera, doktor, guru atau pemimpin negara yang cemerlang jika akar pembentukan peribadi mereka tercemar oleh tabiat yang merosakkan?
Pemantauan
Justeru, pendekatan untuk mengekang gejala ini perlu bersifat menyeluruh dan tidak bergantung kepada satu pihak sahaja. Penglibatan kerajaan adalah penting melalui penguatkuasaan undang-undang yang tegas.
Kerajaan boleh mempertimbangkan untuk menghentikan pemberian lesen penjualan vape secara total, atau sekurang-kurangnya menyekat penjualannya di kawasan berhampiran sekolah, kolej dan universiti.
Selain itu, hukuman yang lebih berat wajar dikenakan kepada mana-mana pihak yang menjual vape kepada golongan bawah umur, termasuk dakwaan di bawah akta jenayah.
Di peringkat sekolah pula, pemeriksaan mengejut dan penggunaan alat pengesan vape perlu dipertingkatkan. Lebih penting, pendidikan kesedaran tentang bahaya vape harus dijadikan sebahagian daripada kurikulum atau program pembangunan sahsiah pelajar.
Guru dan kaunselor perlu dibekalkan dengan modul dan latihan untuk menangani isu ini secara holistik, bukan sekadar bersifat hukuman.
Peranan ibu bapa juga tidak boleh diketepikan. Pemantauan terhadap anak-anak perlu dipertingkatkan, terutamanya dalam penggunaan gajet dan media sosial.
Sikap terbuka dalam berkomunikasi dengan anak-anak mengenai bahaya bahan terlarang amat penting. Remaja perlu tahu bahawa mereka ada ruang untuk bertanya dan mendapatkan bimbingan tanpa takut dihakimi.
Satu aspek penting yang sering diabaikan dalam usaha mencegah gejala ini ialah menyediakan alternatif yang sihat kepada remaja. Aktiviti sukan dan riadah seharusnya menjadi medium utama dalam membentuk gaya hidup sihat.
Kajian menunjukkan bahawa remaja yang aktif bersukan mempunyai tahap disiplin yang lebih tinggi dan kurang terlibat dengan gejala sosial.
Sukan juga membantu menyalurkan tenaga, tekanan emosi dan rasa ingin mencuba kepada sesuatu yang positif. Selain itu, penyertaan dalam kelab dan persatuan di sekolah boleh mengisi masa lapang dengan cara yang membina, sekali gus menjauhkan mereka daripada pengaruh buruk seperti vape.
Oleh itu, sekolah dan pihak berkuasa tempatan harus menyediakan lebih banyak peluang dan kemudahan untuk aktiviti sihat seperti sukan komuniti, kem motivasi, pertandingan seni, dan program kesukarelawanan.
Pembangunan modal insan tidak akan berjaya jika kita hanya menumpukan kepada aspek akademik tanpa memberi ruang kepada perkembangan seimbang dari sudut jasmani, emosi, rohani dan sosial.
Isu vaping dalam kalangan remaja bukan lagi perkara kecil. Ia adalah krisis kesihatan, sosial dan pendidikan yang jika tidak ditangani segera, akan membawa implikasi besar kepada negara.
Malaysia memerlukan generasi muda yang sihat, berwibawa dan berakhlak mulia. Oleh itu, semua pihak harus berganding bahu dalam usaha menyelamatkan anak-anak kita daripada terus terjebak dalam kancah ini. Vape bukan sekadar asap—ia adalah simbol kegagalan kita melindungi masa depan generasi sendiri.
“Jika kita mahu negara yang hebat di masa depan, kita harus mula dengan memastikan remajanya hari ini tidak dibayangi asap vape.”
**Nazmizan Muhammad ialah Olimpian yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)














