SELEPAS menamatkan perjuangan di Akademi Fantasia musim ke tujuh, nama Akim Ahmad menjadi perhatian sebagai penyanyi berbakat dan figura popular dalam industri hiburan tempatan.
Disusuli dengan kemunculan bersama sebuah kugiran muzik rock, Akim and The Majistret, namanya semakin dikenali ramai dengan pelbagai karya yang popular seperti Mewangi, Potret dan lain-lain.
Selain mendapat populariti kerana bakat dalam bidang muzik, Akim turut popular kerana rupa paras yang kacak dan cita rasa fesyennya yang unik serta tersendiri.
Menurut suami kepada penyanyi Stacy itu, dalam berfesyen dia lebih mengikut arus semasa, namun perlu ada keselesaan kerana dia adalah seorang yang kuat berpeluh.
“Saya kuat berpeluh jadi bila berpakaian saya akan pilih konsep kasual terutama dalam berpakaian sehari-hari, namun untuk acara rasmi saya akan perpakaian smart atau formal, mengikut tema.
“Namun di atas pentas atau sebagai selebriti, fesyen saya lebih kepada eksperimen, mengikut tema persembahan atau cadangan stylist tetapi masih menerapkan elemen keselesaan terutama untuk bergerak,” katanya ketika di temu bual CitaRasa di Damansara Perdana, Selangor baru-baru ini.
Tambahnya, dalam berfesyen, selain mendapat khidmat penata gaya, dia juga banyak mendapat nasihat daripada rakan yang juga tukang jahit yang dikenali sebagai Abang Lan.

Selain itu juga, dia membuat rujukan sendiri menerusi Google dan idolanya dalam berfesyen iaitu selebriti antarabangsa, Steve McQueen.
Sepanjang penglibatan dalam industri hiburan, gaya pemakaian Akim yang berani sering menjadi perbualan netizen, membezakan beliau daripada selebriti lelaki lain yang lebih selesa dengan penampilan konservatif.
Salah satu momen yang paling hangat diperkatakan ialah penampilan Akim di sebuah pertunjukan fesyen di Pulau Pinang pada tahun 2023. Beliau tampil dengan padanan oversized blazer, seluar pendek yang hampir tidak kelihatan serta but paras lutut bertumit tinggi.
Penampilan tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai, ada yang mengkritik sebagai keterlaluan, manakala tidak kurang juga yang memuji keberaniannya meneroka sisi baharu dalam fesyen lelaki Malaysia.
Akim kemudian menjelaskan bahawa gayanya itu adalah hasil ilham sendiri, digayakan bagi menyokong rakan-rakan dalam industri fesyen tempatan.

Katanya lagi, kebanyakan eksperimen fesyen dilakukan olehnya semasa zaman bujang, namun dia masih mencuba untuk mencari identiti yang bersesuaian.
“Dahulu memang macam-macam fesyen sampai saya tak ingat tetapi kebanyakannya adalah mix and match serta mengikut trend semasa.
“Namun bila dah berkeluarga, saya banyak ‘cool down’ dan lebih memastikan bahawa setiap penampilan nampak kemas serta tidak keterlaluan,” ujarnya.
Dalam dunia fesyen, Akim dilihat sebagai sosok yang tidak gentar mencabar norma dan dia kerap bereksperimen dengan elemen gaya Korea, inspirasi futuristik dan sentuhan gender-fluid tanpa mengabaikan elemen lokal yang membentuk identitinya.
Secara keseluruhan, penampilan Akim sering kali mencerminkan gabungan stail urban lusuh dengan sentuhan casual-cool yang mengangkat imejnya sebagai artis moden dan dinamik.
Apa yang membezakan Akim daripada selebriti lain adalah keberaniannya menjadikan fesyen sebagai ruang untuk bercerita.
Baginya, pakaian bukan sekadar penampilan luaran, tetapi sebuah pernyataan sokongan terhadap kreativiti, seni dan kebebasan berekspresi.















