fbpx
Mahkamah menetapkan 3 September depan untuk sambungan prosiding kes pengesahan lafaz rujuk yang difailkan usahawan, Datuk Red terhadap bekas isterinya juga penyanyi, Adira.

Pengesahan lafaz rujuk Adira, Datuk Red sambung 3 September

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAWANG – Masih belum selesai, mahkamah menetapkan 3 September depan untuk sambungan prosiding kes pengesahan lafaz rujuk yang difailkan usahawan, Datuk Red terhadap bekas isterinya juga penyanyi, Adira.

Hakim Syarie, ‘Afif Sofiuddin Syeikh Abd. Ghani memberikan tarikh berkenaan bagi mendengar sambungan keterangan lanjut daripada Adira selaku defenden.

Prosiding sekitar pukul 11.30 pagi itu berlangsung sekitar dua jam secara tertutup dengan kehadiran Adira atau Siti Adira Suhaimi, 35, bersama peguamnya.

Peguam syarie mewakili Adira, Roshdan Sujak Rafie, berkata, pada prosiding yang berlangsung hari ini, anak guamnya sudah memberi keterangan menafikan dakwaan berlaku lafaz rujuk seperti difailkan Adnan selaku plaintif.

Bagaimanapun, Roshdan berkata perbicaraan berkenaan akan disambung pada tarikh baharu dengan pihaknya akan membawa dua orang saksi.

“Adira sudah memberikan keterangannya berhubung dakwaan yang dikemukakan plaintif berkaitan isu rujuk.

“Hari ini, Adira memberikan keterangan dan menafikan keseluruhan dakwaan yang dibuat terhadapnya.

“Bagaimanapun, proses itu masih belum selesai dan akan bersambung,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, di sini, hari.

Manakala plaintif iaitu Datuk Red atau Datuk Seri Adnan Abu Bakar tidak hadir apabila mewakilkan peguamnya, Muhammad Akmal Amzan.

“Red maklumkan tidak dapat hadir pada prosiding ini pagi tadi kerana mempunyai urusan kerja,” katanya.

Sementara itu, Roshdan pula turut memaklumkan, Adira akan menyambung keterangannya bagi menyangkal dakwaan berhubung isu rujuk yang dibangkitkan, sebelum mahkamah membuat sebarang keputusan.

“Adira akan terus memberikan keterangan dan berkemungkinan memanggil saksi. Selepas semua proses itu selesai, barulah mahkamah akan menetapkan tarikh prosiding seterusnya sebelum keputusan dibuat,” katanya.

Terdahulu, mahkamah menangguhkan prosiding pengesahan lafaz rujuk yang berlangsung pada 23 April kepada 25 Jun lalu yang diteruskan dengan permohonan penarikan balik kes oleh Adnan.

Mahkamah bagaimanapun menolak pemohonan penarikan balik kes pengesahan rujuk yang difailkan Adnan terhadap bekas isterinya.

Sebelum ini, Datuk Red melalui permohonan difailkan pada 18 Disember lalu mendakwa berlaku lafaz rujuk pada Mei 2024 dalam tempoh idah selepas perceraian, namun Adira tidak mengesahkan perkara tersebut.

Adira pula sebelum ini dilaporkan terkejut dengan tindakan bekas suaminya itu dan menegaskan tidak mengetahui mengenai pengesahan lafaz rujuk berkenaan.

Penyanyi terbabit mendirikan rumah tangga dengan Datuk Red sebagai isteri kedua pada 3 Disember 2015 sebelum bercerai pada 24 April 2024.

Hasil perkahwinan itu, pasangan berkenaan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 9; Asan, 7; Anggun, 6; dan Ayob, 4 tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN