PETALING JAYA – Pelakon Rita Rudaini menyelar penuh sinikal tindakan segelintir pihak yang masih tidak senang dengan kewujudannya sebagai seorang ibu tunggal biarpun sudah 13 tahun hidup menjanda.
Rita atau nama lengkapnya Rita Rudaini Mokhtar, 50, memaklumkan segala kesukaran dilaluinya sepanjang bergelar ibu tunggal kini menjadi kekuatan buat anak-anak lelakinya yang sudah semakin dewasa.
“Kuat juga rupa-rupanya aura Rita Rudaini. Bertahun-tahun berlalu tapi masih ada yang berdebar bila dengar nama, nampak gambar atau sekadar tahu kewujudan.
“Kalau betul tak suka, kenapa masih sibuk memerhati? Pelik.
“Dari dulu kena hentam, difitnah dan diuji. Sekarang anak-anak dah besar. Mereka nampak sendiri air mata, penat lelah dan jatuh bangun mommy,” katanya dalam Threads.
Pelakon filem Mami Jarum itu sempat menitipkan pesanan berbaur sinis kepada golongan tersebut agar berhenti daripada terus mengintip kehidupannya sekiranya perkara tersebut hanya mendatangkan rasa sakit hati kepada mereka.
“Jadi jangan hairan kalau mereka berdiri di depan untuk lindungi ibu mereka. Bayang mommy dulu yang dikejar.
“Sekarang bayang anak-anak pun ada yang mula rasa tak senang.
“Nasihat kecil, kalau tak suka jangan skodeng. Takut makin stres,” katanya lagi.
Sebelum ini, anak sulung Rita iaitu Airit Rayyan Rizqin membalas komen seorang individu yang mengaitkan kejayaannya dengan bapanya yang juga pemain bola sepak, Aidil Zafuan.
Airit dengan tenang membalas komen tersebut dengan mempersoalkan siapakah individu yang dimaksudkan pihak berkenaan.
Terdahulu, ibu kepada dua orang anak itu menegaskan kejayaan Airit yang mencipta rekod baharu dalam acara 110 meter lari berpagar tidak mempunyai kaitan dengan bekas suaminya.
Rita menjelaskan bahawa dia membesarkan anak-anaknya sendiri tanpa bergantung kepada bantuan bekas suami. – KOSMO! ONLINE














