KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 53 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat lima sebuah kondominium di Wangsa Maju, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 8.15 pagi.
“Mangsa menetap di tingkat tiga, namun ketika kejadian, lelaki itu terjatuh dari tingkat lima.
“Mayat lelaki itu dijumpai orang awam. Ahli keluarga mangsa tidak mengetahui mengenai kejadian itu sehingga dimaklumkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Mohamad Lazim berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai mengalami masalah keluarga. Mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.
Setakat ini siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kematian lelaki itu. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE