fbpx
LEBIH 10,000 peserta termasuk wanita dan ibu memeriahkan acara larian keluarga tersebut.

K2

10,000 peserta, keluarga meriahkan Family Fun Run

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERSENAM bersama keluarga bukan sahaja mengeratkan hubungan kekeluargaan, malah memberi impak besar terhadap perkembangan kognitif anak-anak. Menerusinya, institusi prasekolah, Genius Aulad baru-baru ini menganjurkan sebuah acara larian besar-besaran dengan menggabungkan elemen kekeluargaan, pendidikan dan keterlibatan komuniti.

Bertempat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, Selangor, acara Family Fun Run 2025 itu telah mengumpulkan lebih 10,000 peserta termasuk ibu bapa, anak-anak serta warga kerja dari seluruh negara. 

Bertemakan Live In The City, acara tersebut bukan sekadar perayaan, tetapi simbol kepada perjalanan dan perjuangan Genius Aulad selama lebih dua dekad dalam memperjuangkan pendidikan awal kanak kanak yang berteraskan nilai Islam, cinta dan kemanusiaan.

Acara larian santai sejauh 2.5 kilometer itu juga bukan sekadar aktiviti riadah, sebaliknya memperkenalkan elemen pembelajaran melalui titik-titik checkpoint interaktif. 

ZALIZA berucap pada majlis perasmian acara larian yang berlangsung di MAEPS, Serdang itu.

Ia termasuk pejabat pos, hospital, kedai roti dan balai bomba yang direka menyerupai bandar mini bagi memberi pengalaman dunia sebenar kepada kanak-kanak.

 Pengasas Genius Aulad dan GAINS Education Group, Zaliza Alias berkata, sambutan kali ini bukan sekadar meraikan pencapaian masa lalu, tetapi sebagai isyarat bahawa pendidikan awal kanak-kanak memerlukan pendekatan yang lebih dekat  dengan kehidupan sebenar dan masyarakat.

 “Alhamdulillah, suasana hari ini sangat mengharukan dan memberikan 1,001 makna bagi kami. 

“Saya melihat para ibu, bapa dan anak anak berjalan bersama berpimpin tangan serta menikmati detik kecil yang sangat bermakna. 

“Inilah erti pendidikan bukan sekadar akademik, tetapi membina hubungan dan nilai,” katanya kepada K-Wanita. 

Tambahnya, pelbagai elemen komuniti diintegrasikan ke dalam acara tersebut bertujuan menanam kesedaran bahawa pendidikan juga berlaku di luar bilik darjah. 

“Kami mahu anak-anak pegang poskad, melihat sendiri kerja anggota bomba, merasai suasana hospital atau membeli roti di kedai simulasi.

“Semua ini adalah pendidikan sebenar yang membina keterampilan sosial dan emosi mereka,” katanya. 

Family Fun Run 2025 turut menampilkan detik istimewa menerusi pelancaran semula Lagu Sekolah Genius Aulad, lagu pendidikan yang asalnya diterbitkan pada tahun 2005 menerusi kolaborasi bersama kumpulan nasyid Raihan dan Islamic Relief Worldwide. 

PARA peserta dan petugas ceria bermain buih ketika acara larian berlangsung.

“Lagu ini ditulis oleh anak Genius Aulad sendiri yang kini sudah pun mempunyai anak sendiri, dan hari ini dinyanyikan semula oleh generasi baharu. 

“Insya-Allah, kami akan menerbitkan video muzik rasmi sebagai hadiah buat semua yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan ini,” katanya. 

Pada masa sama, acara turut dimeriahkan dengan festival kekeluargaan termasuk trak makanan, ruang berkelah, aktiviti tajaan, reruai bergambar serta penyampaian medal penamat dan hadiah kepada peserta.

Seorang guru dan kini bergelar pengetua, Farah Hanisah yang telah berkhidmat selama 11 tahun menyatakan rasa bangga melihat pertumbuhan institusi itu.

ZALIZA (kiri) beramah mesra dengan salah seorang kanak-kanak yang merupakan peserta larian.

 “Sungguh menginspirasikan melihat bagaimana kami telah menyentuh kehidupan begitu ramai keluarga. 

“Saya amat berbangga menjadi sebahagian daripada komuniti ini yang semakin berkembang,” katanya. 

Tambahnya, menerusi sambutan ini, Genius Aulad membuktikan pendekatan pendidikan awal yang menggabungkan kasih sayang, nilai komuniti dan pembelajaran aktif kekal relevan dan diperlukan dalam membentuk generasi masa hadapan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN