fbpx
MALAYSIA sekali lagi dikejutkan dengan insiden menyayat hati membabitkan kemalangan maut yang mengorbankan sembilan anggota FRU di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan pada 13 Mei lalu

Trauma keluarga mangsa nahas lebih pedih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kemalangan jalan raya se­ring dilihat sebagai perlanggaran fizikal antara kenderaan, namun hakikatnya ia membawa kesan yang jauh lebih kompleks. Malah baru-baru ini, Malaysia digemparkan dengan kemalangan tragis yang melibatkan sebuah kenderaan milik Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang mengorbankan 9 anggota polis.

Ini membuktikan kesan kemalangan jalan raya adalah me­lebihi kerosakan material. Kesan kemalangan tidak terhenti di situ sahaja. Kecederaan akibat kemalangan memerlukan rawatan intensif, fisioterapi dan kadang kala pembedahan berulang.

Dalam kes barisan hadapan negara, kecederaan boleh menjejaskan keupayaan bertugas dan memberi kesan kepada ke­selamatan operasi.

Anggota FRU yang cedera berisiko mengalami gangguan tekanan pasca trauma (PTSD). Trauma psikologi selepas kemalangan adalah punca utama pe­ngurangan kualiti hidup dalam kalangan mangsa kemalangan.

Selain itu, trauma turut dirasai secara mendalam oleh ahli keluarga mangsa yang terkorban. Isteri menjadi balu sekelip mata, anak kehilangan tempat bergantung dan ibu bapa tua terpaksa menanggung kehilangan anak tersayang. Kehilangan insan tersayang secara tiba-tiba boleh meninggalkan kesan emosi yang berpanjangan, termasuk kebimbangan dan kemurungan.

Dari sudut ekonomi, kemalangan jalan raya menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit setiap tahun. Kerugian ini meliputi kos kerosakan harta benda, kehilangan produktiviti, kos perubatan dan bayaran insurans.

Menurut laporan Kementerian Pengangkutan pada 2022, setiap kematian disebabkan kemalangan jalan raya dianggarkan membawa kerugian mencecah sehingga RM 3.12 juta bagi setiap individu, manakala jumlah ke­seluruhan kerugian tahunan kepada negara dianggarkan RM19.7 bilion.

Ini merupakan antara kesan tidak langsung kemalangan jalan raya yang tidak disedari oleh kita. Seperti bahagian ais yang tersembunyi di bawah permukaan bongkahan ais (iceberg), impak tidak langsung ini sukar dilihat dengan mata kasar, namun hakikatnya jauh lebih besar dan mahal berbanding kesan langsung yang tampak jelas di permukaan.

Meskipun media kerap menekankan betapa seriusnya isu kemalangan jalan raya, kadar kemalangan masih menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun. Di Malaysia, kemalangan jalan raya merupakan penyebab kematian kelima tertinggi daripada 139 punca utama kematian, menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Statistik juga me­nunjukkan setiap 27 minit, seorang rakyat Malaysia maut akibat kecederaan yang berpunca daripada kemalangan jalan raya.

Kelalaian

Lebih membimbangkan, majoriti mangsa adalah golo­ngan muda dan produktif berusia antara 16 hingga 44 tahun. Kehilangan nyawa dalam usia muda bukan sahaja menyayat hati, tetapi turut memberi kesan besar kepada ekonomi negara. Setiap nyawa yang terkorban membawa bersama potensi tenaga kerja, sumber pendapatan keluarga dan penyumbang kepada pembangunan negara.

Mulai saat ini, saya menyeru pembaca semua untuk berhenti membuat persepsi bahawa kemalangan adalah ‘takdir’ atau ‘nasib malang’. Sebaliknya, kemalangan, dan dalam konteks ini kemalangan jalan raya, adalah isu yang boleh dicegah dan merupakan tanggungjawab bersama. Ia menuntut perubahan budaya dan kesedaran yang menyeluruh di setiap lapisan masyarakat.

Laporan dari statistik kemalangan jalan raya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan bahawa 90 peratus punca kemalangan adalah kelalaian manusia.

Berdasarkan Teori Domino, kemalangan boleh dicegah sekiranya salah satu faktor utama, iaitu tingkah laku tidak selamat, dapat dikawal atau dihapuskan. Menurut teori ini, setiap blok domino mewakili faktor penyumbang kepada kemalangan jalan raya. Dengan ‘mengawal’ satu blok domino, iaitu tingkah laku manusia yang tidak selamat, rantaian tersebut boleh diputuskan dan kemalangan dapat dicegah.

Pelaksanaan inisiatif seperti kempen pendidikan keselamatan jalan raya, kempen tingkah laku selamat semasa memandu dan modul pemanduan berhemah berpotensi ke arah perubahan sikap pengguna jalan raya. Usaha-usaha ini secara langsung menyumbang kepada ‘pengawalan’ salah satu blok domino yang di­sebut dalam perenggan terdahulu. Melalui pendekatan ini, pengguna jalan raya bukan sahaja sedar tentang risiko, tetapi juga terdorong untuk mengubah cara pemanduan yang lebih selamat.

Bagaimanapun, keselamatan tidak bergantung kepada satu faktor sahaja, tetapi kepada sistem yang saling menyokong. Pendekatan Sistem Selamat (Safe System Approach) ialah satu kerangka strategik keselamatan jalan raya yang menekankan bahawa manusia tidak sempurna dan cenderung melakukan kesilapan.

Susulan itu, sistem pengangkutan harus direka bentuk untuk mengelakkan kesilapan kecil yang menjadi punca kepada kecederaan serius atau kematian. Pendekatan Sistem Selamat ini berbeza dengan pendekatan tradisional yang sering menya­lahkan pengguna jalan raya semata-mata.

Sebaliknya, Sistem Selamat menekankan tanggungjawab pemegang taruh terdiri dari jurutera, penguat kuasa, pembuat dasar, pereka bentuk jalan, majikan dan pengguna jalan raya sendiri.

Kesedaran

Pendekatan Sistem Selamat meletakkan nyawa sebagai keutamaan tertinggi dalam perancangan sistem jalan raya untuk mewujudkan persekitaran pengangkutan yang selamat. Sehubungan dengan ini, bagi mengelakkan dari tragedi berdarah seperti insiden trak FRU berulang serta mengorbankan ramai nyawa, pendekatan Sistem Selamat harus diterapkan secara menyeluruh. Pertama, aspek pengguna jalan raya yang selamat perlu diberi penekanan melalui latihan kesedaran risiko dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP). Sebagai contoh, pengguna jalan raya perlu memahami kepentingan penggunaan tali pinggang keledar dan topi ke­ledar dalam mengurangkan risiko kecederaan.

Kedua, kenderaan yang selamat wajib dipastikan melalui penyelenggaraan berkala, pemeriksaan teknikal sebelum operasi, serta penggunaan teknologi ke­selamatan moden seperti sistem brek automatik, sistem amaran pelanggaran dan pengesan titik buta. Penggunaan teknologi keselamatan moden memainkan peranan penting dalam membantu pemandu bertindak lebih pantas dan berkesan terhadap potensi bahaya di jalan raya.

Ketiga, kelajuan yang selamat harus dikawal mengikut kea­daan lalu lintas dan cuaca supaya risiko pelanggaran serta kehilangan kawalan dapat diminimumkan. Keempat, jalan raya dan persekitaran yang selamat perlu diambil kira dengan memilih laluan yang sesuai. Kelima, tindak balas pasca kemalangan yang cekap dan pantas seperti pelaporan segera, siasatan menyeluruh, dan tindakan pembetulan boleh mencegah insiden sama daripada berulang.

Oleh itu, kesedaran dan komitmen daripada pekerja dan maji­kan amat diperlukan untuk menjamin keselamatan supaya pekerja termasuk barisan hadapan negara dapat pulang ke pangkuan keluarga tercinta dengan selamat pada setiap hari.

Majikan berperanan mengambil langkah proaktif disamping setiap pekerja juga perlu memainkan peranan dalam memastikan perjalanan berkaitan tugas, sama ada jarak dekat atau jauh, dalam keadaan selamat dan optimum. Pendekatan bersama ini mampu mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat dan menyumbang kepada penca­paian matlamat jangka panjang seperti Vision Zero dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Kesimpulannya, kemalangan jalan raya bukan hanya melibatkan perlanggaran antara kende­raan, tetapi turut meninggalkan kesan terhadap kesihatan fizikal dan mental mangsa, kesejahte­raan keluarga, serta kelangsungan fungsi masyarakat secara keseluruhan.

Oleh itu, pendekatan terhadap keselamatan jalan raya perlu melangkaui aspek teknikal semata-mata, dengan memberi penekanan kepada aspek kemanusiaan seperti sokongan psikologi dan pemulihan jangka panjang. Insiden yang melibatkan kenderaan FRU ini wajar dijadikan iktibar untuk mendorong pembaharuan sistematik dalam pengurusan kese­lamatan jalan raya di negara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN