fbpx
Sebahagian mangsa penderaan seksual takut atau lambat membuat laporan apabila pelaku adalah ahli keluarga sendiri. – GAMBAR HIASAN

Mangsa seksual menderita selagi pakai mentaliti lapuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Penjenayah seksual kanak-kanak se­ring memanipulasi emosi mangsa de­ngan pelbagai helah se­perti ugutan, pujukan, termasuk menggunakan kasih sayang atau hadiah bagi ‘menjinakkan’ mang­sa secara perlahan-lahan.

Pakar Kriminologi Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Zalmizy Hussin berkata, lebih membimbangkan, sebahagian besar kes lambat dilaporkan ke­rana mangsa berasa takut, malu atau terikat secara emosi terutama apabila pelaku adalah ahli keluarga sendiri.

“Bila keluarga sendiri minta ‘tutup kes untuk jaga nama baik’, mangsa akan terus menderita secara senyap. Ini realiti pahit dalam masyarakat kita,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurutnya, majoriti mang­sa jenayah seksual merupakan pelajar sekolah dan pelaku membabitkan ahli keluarga, jiran, guru atau kenalan media sosial.

“Ramai tidak sangka, pelaku adalah orang yang tidur sebumbung atau rapat dengan keluarga mangsa. Kepercayaan itulah yang membuka ruang untuk mereka mendekati mangsa tanpa di­syaki,” ujarnya.

Beliau berkata, terdapat pelaku yang pernah menjadi mangsa penderaan seksual ketika kecil, namun tidak pernah diberi rawatan atau keadilan.

Pakar Kriminologi Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Zalmizy Hussin

Tambahnya, kegagalan ibu bapa memantau anak-anak, terutama apabila dibiarkan bersama saudara lelaki atau jiran turut membuka peluang jenayah ini berlaku secara senyap dan ­berulang.

“Ramai remaja tidak tahu hak mereka terhadap sentuhan tidak selamat, lebih-lebih lagi apabila pelaku adalah bapa tiri, pak cik atau guru. Mereka takut dianggap derhaka jika menolak,” katanya.

Oleh itu katanya, ramai mang­sa trauma, hilang kepercayaan hingga terbabit dalam gejala sosial seperti hubungan seks tanpa perlindungan.

“Kesan bukan saja kepada mangsa, tetapi masyarakat. Kita sedang melahirkan generasi yang rosak secara senyap jika jenayah ini tidak dibendung secara serius,” ujarnya.

Beliau turut menyokong hukuman tegas kepada pelaku se­perti pemenjaraan dalam tempoh lama, sebatan dan pendaftaran sebagai pesalah seksual.

“Jangan jadikan hukuman sebagai sekadar ‘sedap hati’ orang awam,” ujarnya.

Zalmizy turut menyeru agar masyarakat berani bertindak, dan segera melaporkan jika mengesyaki kanak-kanak menjadi mangsa penderaan seksual.

“Melindungi kanak-kanak tanggungjawab semua termasukkomuniti. Jangan anggap ini isu terpencil,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN