fbpx

KPKT peruntuk RM28 juta bagi pembangunan infrastruktur Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kor Ming (kanan) menunjukkan gambaran kompleks parkir pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Kompleks Parkir dan Ruang Komersial di Jalan Panglima di Ipoh hari ini. - Foto LIYANA RAMLI/ KOSMO!

IPOH – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM28.1 juta bagi melaksanakan dua projek pembangunan infrastruktur awam dan sosioekonomi di Perak menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, daripada jumlah tersebut, RM7 juta diperuntukkan bagi projek Pembangunan Landskap Perbandaran Ipoh manakala RM21.1 juta lagi bagi projek naik taraf Tapak Pelupusan Sisa Pepejal di Teluk Cempedak, Pulau Pangkor.

“Projek pembangunan landskap ini akan dilaksanakan di kawasan sekitar Sungai Kinta, dari Jambatan Sultan Iskandar sehingga Jambatan Jalan Leong Boon Swee yang melibatkan kawasan seluas 5.47 hektar,” katanya kepada pemberita di Jalan Panglima di sini hari ini.

Menurutnya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya turut memperuntukan RM5 juta bagi membangunkan landskap di sepanjang Sungai Kinta.

“Peruntukan ini bertujuan memperindah kawasan tersebut dan menyokong usaha memperkukuh sektor pelancongan tempatan. Saya yakin ini akan menjadi tarikan pelancongan yang akan meningkatkan imej bandar raya Ipoh,” katanya.

Beliau berkata, projek naik taraf tapak pelupusan di Pulau Pangkor seluas 3.16 hektar pula merangkumi kerja-kerja penambakan laut terbuka bagi pembinaan tapak baharu serta penutupan sel terbuka sisa sedia ada.

“Sebuah buah Loji Rawatan Leachate lengkap dengan fasiliti mekanikal dan sistem kawalan automatik (PLC) turut dibina serta penyediaan infrastruktur asas seperti bekalan elektrik, air dan jalan berturap bagi operasi tapak tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI