KOTA BHARU – Peruntukan pembangunan yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk Kelantan pada tahun ini meningkat kepada RM8 bilion berbanding RM3.19 bilion pada tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan tersebut semakin bertambah sejak kerajaan Madani memerintah negara pada 2022.
Beliau berkata, tambahan peruntukan menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak meminggirkan negeri pembangkang itu.
“Kalau ada lagi satu dua orang pimpinan pembangkang dan kerajaan negeri yang berani sebut kita pinggirkan dan tidak beri peruntukan kepada kerajaan negeri, kita minta dia buka buku dan belajar sedikit.
“Peruntukan pembangunan naik daripada RM3 bilion kepada RM8 bilion. Hari ini, saya juga umumkan peruntukan RM20 juta bagi membasmi kemiskinan di Kelantan.
“Apa saya tanya dia ni parti mana? Tidak. Siapa yang uruskan? Kerajaan Persekutuan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM),” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian Mini Konvensyen Keadilan Kelantan 2026 di sebuah hotel di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar memberitahu, aspek kemiskinan itu bukan sahaja masalah Kelantan, sebaliknya ia merupakan masalah negara.
“Ini saya bicara mengenai pengurusan kerajaan dan tatakelola. Oleh itu, saya mula urus dengan baik. Apabila negara diurus dengan baik, kita boleh selesaikan masalah rakyat,” katanya. –
Sebelum ini, peruntukan pembangunan disalurkan Kerajaan Pusat untuk Kelantan sebanyak RM3.19 bilion tahun lalu menyaksikan peningkatan berganda berbanding 2022 sebanyak RM1.55 bilion.
Anwar berkata, peningkatan berganda itu sekali gus mencerminkan keprihatinan Kerajaan Persekutuan terhadap Kelantan. – KOSMO! ONLINE














