Kita sering mendengar berita mengenai kanak-kanak hilang walaupun berada tidak jauh dari ibu bapa ketika keluar bermain atau berada di premis tertentu seperti pusat beli-belah dan sebagainya.
Perkara ini berlaku berkemungkinan ibu bapa mengambil mudah tentang keselamatan anak-anak dengan leka bermain telefon atau tidak memberi fokus sepenuhnya kepada kanak-kanak berkenaan.
Ini boleh memberi peluang kepada penjenayah untuk menculik kanak-kanak tersebut tanpa disedari oleh orang tua mereka.
Kelalaian seorang ibu daripada memberi tumpuan kepada anaknya berlaku di depan mata penulis ketika berurusan di sebuah premis di Putrajaya minggu lalu.
Ketika itu, ibu tersebut yang membawa bersamanya seorang anak lelaki berumur dalam lingkungan dua atau tiga tahun sedang berurusan di kaunter.
Biasalah anak sekecil itu memang sukar dikawal dan si ibu pula melepaskan anaknya ‘berkeliaran’ di dalam premis terbabit tanpa memandang ke arahnya dan sibuk dengan urusan di kaunter.
Sedar tak sedar selepas urusannya selesai, baru dia mula ‘gelabah’ mencari keberadaan anaknya. Di raut wajahnya kelihatan gelisah dan resah selepas mendapati anaknya tiada di situ.
Mujur anaknya berada tidak jauh dari tempat dia berdiri, cuma penglihatan dibatasi oleh kerusi dan meja di premis tersebut.
Sepatutnya bila mengetahui membawa anak kecil bersama, perlu sentiasa mengawasinya walau sesibuk mana urusan yang perlu dibereskan. Mujur anak wanita itu tidak menjadi mangsa culik pada ketika itu.
Mungkin dia beranggapan ramai orang di situ yang boleh mengawasi pergerakan anaknya menyebabkan tidak berapa cakna dengan perkara itu.
Orang lain pun ada urusan tersendiri dan tiada masa untuk menyibukkan diri melihat kelibat seorang anak kecil yang tengah aktif.
Ini adalah salah satu contoh kealpaan ibu bapa yang boleh menjurus kepada kehilangan dan penculikan kanak-kanak.
Sepatutnya sebagai ibu bapa hendaklah memberi tumpuan dan pemantauan ketat sewaktu membawa anak-anak di tempat awam dan ini memberi ruang secukupnya kepada mereka yang tidak bertanggungjawab melakukan jenayah culik.
Percayalah hanya dalam masa dua atau tiga minit kita mengalih pandangan daripada anak-anak, mereka boleh hilang begitu sahaja tanpa dapat dikesan.
Ini kerana kitalah yang memberi ruang dan peluang kepada penjenayah yang sentiasa mencari kesempatan daripada kealpaan dan kelalaian memantau pergerakan anak-anak.
Jadi sentiasa berhati-hati dengan memastikan pergerakan anak-anak berada di depan mata kita. Jangan disebabkan kelalaian sendiri kita menangis tidak berlagu di kemudian hari.















