KUALA TERENGGANU – Simpanan RM30,200 seorang pekerja sambilan lebur apabila wanita itu diperdaya dengan tawaran pekerjaan yang tidak wujud.
Mangsa berusia 39 tahun yang menyedari tertipu telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada pukul 11.25 pagi, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, wanita itu menerima panggilan daripada suspek mengaku kononnya wakil sebuah platform e-dagang pada pukul 5.50 petang, 4 April lalu.
“Suspek mendakwa kononnya mahu menghantar hadiah penghargaan berupa lampu solar kepada mangsa.
“Dia kemudiannya memasukkan mangsa ke dalam kumpulan WhatsApp yang kononnya menawarkan ganjaran penghargaan RM8 jika wanita itu memberi maklum balas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, pekerja sambilan terbabit juga ditawarkan ganjaran tambahan sekiranya melakukan tugasan di dalam sebuah aplikasi diberikan.
Beliau berkata, walaupun pada mulanya, wanita itu menerima komisyen dijanji namun akhirnya mangsa dikenakan ‘penalti’ kononnya kerana lewat menyelesaikan tugasan.
“Mangsa akur membayar ‘penalti’ berkenaan yang berjumlah keseluruhan RM30,200 menggunakan simpanannya.
“Wanita tersebut akhirnya menyedari tertipu apabila tetap tidak mendapat semula ‘pulangan’ dijanjikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE