JAKARTA – Satu video tular di media sosial memaparkan detik sebuah jengkaut melintas di dalam sebuah khemah majlis perkahwinan tanpa merosakkan binaan tersebut, lapor laman berita Detik kelmarin.
Kejadian berlaku di Sleman, Jogjakarta Jumaat lalu.
Dalam video tersebut, sebuah jengkaut besar bergerak perlahan melalui khemah ketika beberapa tetamu berada di dalamnya.
Bahagian pengorek jengkaut yang tinggi menyebabkan ia sedikit terkena pada siling khemah, namun tiada kerosakan besar berlaku.
Ketua Kampung Banyurejo, Irwan Darmanta berkata, jengkaut itu terpaksa melalui khemah tersebut bagi membolehkan ia menuju ke sebuah masjid yang akan dirobohkan untuk kerja-kerja baik pulih.
“Khemah majlis kenduri itu didirikan di atas jalan utama yang menjadi satu-satunya akses ke masjid tersebut.
“Pihak tuan rumah sedia maklum mengenai perkara itu, manakala jengkaut melaluinya dengan penuh berhati-hati,” kata Irwan.
Tambahnya, meskipun acara itu berlangsung selama tiga hari, ia tidak mendatangkan masalah kepada penduduk setempat. – AGENSI














