fbpx
Saifuddin Nasution ketika berucap pada Majlis Penyerahan Dokumentasi Inisiatif Mekar Didik dan Kaunter Lorong di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), Chow Kit, hari ini. Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI / KOSMO!

34 murid rentas sempadan: Kerajaan pilih pendekatan bantuan, bukan tindakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil pendekatan berhemah dengan membantu 34 pelajar dan murid yang dikesan merentas sempadan Malaysia-Thailand secara tidak sah, berbanding mengambil tindakan penguatkuasaan semata-mata.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau telah mengarahkan Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan supaya mempermudah urusan dokumentasi murid terbabit agar mereka dapat menggunakan laluan sah ke sekolah.

Menurutnya, pendekatan itu diambil selepas mengambil kira kemungkinan wujud kekangan dokumen yang memaksa mereka menggunakan laluan tidak rasmi.
“Semalam saya beri arahan kepada Ketua Pengarah Imigresen dan juga Ketua Polis Kelantan supaya bantu anak-anak ini untuk dipermudahkan dokumen perjalanan mereka.

“Kita tidak mahu ikut jalur biasa iaitu menangkap mereka di bawah Akta Imigresen, buka kertas siasatan (IP) dan mengenakan kompaun. Sebaliknya, kita bantu mereka dari segi dokumentasi agar mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Dokumentasi Inisiatif Mekar Didik dan Program Kaunter Lorong di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, kawasan sempadan di Kelantan yang menjangkau lebih 100 kilometer mempunyai hubungan komuniti rentas negara yang rapat, sekali gus menjadikan pergerakan harian termasuk ke sekolah sebagai perkara biasa bagi sebahagian penduduk.

Namun begitu, katanya, aspek keselamatan tidak boleh dikompromi memandangkan kawasan tersebut berisiko tinggi terhadap jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dadah, senjata api dan pemerdagangan manusia.

“Terdapat kes di mana pelajar digunakan sebagai keldai untuk menyeludup dadah merentas sempadan.

“Sebab itu, tugas pasukan keselamatan adalah mengawasi sempadan negara agar tidak terdedah kepada ancaman ini. Namun, bagi kes melibatkan pelajar, kita akan uruskan sehikmah mungkin bagi memastikan akses pendidikan mereka tidak terjejas,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan sebelum ini turut mengambil langkah membuka pintu sempadan lebih awal bagi memudahkan pergerakan pelajar ke sekolah.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa kos mendapatkan pas sempadan adalah rendah iaitu sekitar RM10 dan menggesa ibu bapa serta penjaga memastikan anak-anak menggunakan saluran sah.

Ahad lalu, Kosmo! melaporkan, Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seramai 34 pelajar dan murid sekolah selepas dikesan menyeberangi Sungai Golok dari Thailand melalui pangkalan haram untuk pergi ke sekolah mereka.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, kesemua mereka yang berusia dalam lingkungan tujuh hingga 16 tahun itu ditahan kira-kira pukul 6.30 pagi sebelum dibebaskan kira-kira pukul 11.30 malam hari yang sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN