SHAH ALAM – Membangunkan program pembelajaran berasaskan hafazan al-Quran untuk menjadi sebuah institusi pendidikan yang berimej tinggi dengan memiliki sistem hafazan terbaik yang mudah diikuti oleh pelajar adalah impian semua pengasas pusat tahfiz di negara ini.
Wawasan dan misi ini berjaya direalisasikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif AKMAL, Mohd. Saifullah Hussin yang kini mampu mengubah sistem hafazan yang diikutinya pada zaman kanak-kanaknya di Pakistan.
Anak kelahiran Terengganu ini mengambil masa kira-kira lapan tahun untuk menghafaz senaskhah al-Quran ketika itu.
Namun, melalui ilmu dan teknik yang diajar oleh gurunya di pusat tahfiz di Pakistan, ilmu berharga itu dibawanya ke AKMAL pada tahun awal pengoperasian yang berpusat di Terengganu.
Melalui sistem tersebut, seseorang pelajar itu boleh menghafaz al-Quran dalam tempoh yang singkat secara purata kasarnya kurang daripada setahun tetapi ia bergantung kepada kesungguhan pelajar institusi itu yang berumur antara 10 hingga 15 tahun itu.

Bagaimanapun, ramai pelajar AKMAL mampu bergelar hafiz dan hafizah dalam tempoh seawal tiga bulan.
Semua pelajar perlu melalui sesi temu duga terlebih dahulu untuk mengetahui minat dan kesungguhan diri sendiri tanpa dipaksa oleh ibu bapa masing-masing dan pastinya mereka juga perlu membuat pengorbanan dengan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pengajian di AKMAL tanpa berteman sebarang gajet atau telefon pintar.
Namun kesungguhan, pengorbanan anak-anak ini dan juga disokong oleh para guru dan ibu bapa serta keluarga masing-masing, AKMAL kini telah melahirkan ramai Hafiz dan Hafizah setiap tahun melalui beberapa cawangan syarikat di seluruh negara.
“Kami menyasarkan seramai 3,000 orang penghafaz al-Quran setiap tahun dan terdapat pertambahan jumlah yang melihatkan ramai anak-anak sedang berusaha untuk mencapai cita-cita mereka.
“Pada graduasi kali ini, seramai 201 pelajar telah diraikan dalam Majlis Haflah Takrimiyah AKMAL Kali Ke-7 sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian mereka dalam menghafaz al-Quran.
“Majlis ini bertujuan untuk mengiktiraf usaha dan komitmen mereka yang berjaya menamatkan hafazan, selain menjadi platform untuk menyemarakkan kecintaan terhadap al-Quran dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis graduasi tersebut baru-baru ini.

Buat masa ini, terdapat lebih 700 pelajar sedang mengikuti Program Hafazan Intensif AKMAL dan lebih menarik pihak sekolah turut menerima beberapa pelajar dari negara jiran.
Mengulas lanjut, Mohd. Saifullah berkata, AKMAL kini semakin mendapat perhatian ramai ibu bapa dan pelajar di luar sana, ini membuktikan sistem pembelajaran yang diamalkan dengan menetapkan sasaran bagi setiap pelajar untuk berjaya menghafaz dalam masa setahun berkesan.
“Kita anjurkan kempen untuk tingkatkan motivasi pelajar dan menjadikan ia sebagai KPI pelajar masing-masing.
“Kita lihat pada masa kini, ramai ibu bapa semakin cenderung dan berminat untuk mendaftar anak-anak mereka di AKMAL kerana persepsi sebelum ini bahawa pelajar tahfiz hanya boleh menjadi imam atau bidang keagamaan, sudah lama luput.
“Secara realitinya, ramai huffaz membuktikan mereka mampu menguasai pelbagai kerjaya profesional bertaraf tinggi dan berani saya nyatakan di sini kadar kebolehpasaran pelajar lepasan AKMAL adalah bernilai tinggi.
“Ini boleh dilihat pelajar yang mahu melanjutkan pelajaran mereka seterusnya untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia dan program lain, sangat mudah rezeki mereka untuk di terima masuk.
“Anak-anak huffaz ini bukan sahaja boleh menceburi bidang agama, malah boleh mempunyai kerjaya dalam pelbagai bidang profesional dan ini terbukti alumni di AKMAL yang kini membina kerjaya sebagai arkitek, doktor, pensyarah dan pelbagai lagi,” ujarnya.
Sementara itu, dalam majlis graduasi tersebut, Muhammad Akmal Hadi Hissam, 16, berjaya memperoleh Syahadah Hafazan Sughra dan Kubra dalam masa kurang setahun.

Beliau berkongsi ilmu bagaimana berjaya mencapai kejayaan tersebut, adalah dengan mengamalkan pembacaan terjemahan al-Quran sebelum memulakan proses hafazan.
“Bila baca terjemahan, kita akan rasa lebih berminat untuk menghafaz, ini adalah tips yang dikongsikan oleh pelajar senior” katanya.
Sementara itu, ibu bapa kepada empat orang anaknya mengikut pengajian di AKMAL, Wan Azuadi Wan Yusoff, 49, dan isterinya, Normajan Ahmad, 47, berrasa syukur dan teruja apabila keluarganya dinobatkan penerima Anugerah Tajul Waqar apabila empat anakya memperoleh Syahadah Hafazan.
“Syukur keempat-empat anak saya berjaya menghafaz al-Quran dan berjaya Syahadah kurang setahun.
“Anak-anak memang menunjukkan minat dalam menghafaz dan kami memberi galakan dan
dorongan untuk mereka cintakan al-Quran kerana dengan al-Quran sahajalah mampu mendidik dan menjaga mereka nanti,” jelas Wan Azuadi yang juga seorang guru.
“Saya memilih AKMAL kerana yakin dengan sistem pembelajaran dan teknik didikan hafazan yang diterapkan membuatkan anak-anak bertambah minat dengan al-Quran sehingga berjaya Syahadah,”
katanya.
Tambah beliau, bagi menampung perbelanjaan yuran bulanan yang agak tinggi untuk anak-anaknya di AKMAL, pasangan suami isteri ini membuat kerja sampingan seperti membuka kelas tuisyen di luar waktu persekolahan. -KOSMO! ONLINE














