fbpx
Shamsul Azri dan Ismail (kanan) pada Majlis Apresiasi Erat EAIC di Putrajaya malam tadi. Foto oleh FAISOL MUSTAFA

Agensi penguatkuasaan komited laksana syor EAIC, tidak cadang dedah nama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Semua agensi penguatkuasaan di bawah seliaan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) setakat ini memberikan komitmen untuk melaksanakan syor penambahbaikan yang dikemukakan hasil siasatan suruhanjaya itu.

Pengerusinya, Tan Sri Dr. Ismail Bakar berkata, justeru EAIC tidak bercadang membuat pendedahan terhadap mana-mana agensi yang masih belum mengambil tindakan terhadap syor berkenaan.

“Setakat ini mereka telah memberikan komitmen, jadi tak perlu kita buat pendedahan.

“Sebab mereka sudah janji untuk memberikan kerjasama untuk memastikan apa juga cadangan penambahbaikan tersebut, mereka akan laksanakan, cumanya mereka mengambil masa sedikit kerana melibatkan perjawatan dan peruntukan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi ‘Encouraging, Responsibility, Accountability, Trustworthiness’ (ERAT) di sini malam tadi.

Sebelum ini, EAIC mahu mengumumkan secara terbuka agensi penguatkuasaan bawah seliannya yang masih gagal mengambil tindakan terhadap syor-syor dapatan siasatan dikemukakannya.

Langkah ini diambil bagi menegakkan keadilan dan memastikan keberkesanan institusi tidak dikompromi, selaras dengan mandat suruhanjaya itu kepada rakyat.

Menurut Ismail, terdapat juga situasi yang memerlukan agensi terlibat menjalankan siasatan dalaman terlebih dahulu sebelum tindakan lanjut dapat diambil.

“Kadang-kadang melibatkan siasatan dia sendiri kerana dalam mengambil tindakan tatatertib kadang-kadang mereka membuat siasatan dalaman mereka sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, cadangan penubuhan Ombudsman Malaysia disifatkan sebagai satu langkah baik bagi memastikan aduan rakyat terhadap penyampaian perkhidmatan kerajaan dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Katanya, Ombudsman Malaysia akan menjadi saluran rakyat untuk menyampaikan sebarang aduan berkaitan salah laku, salah tadbir atau kelemahan dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan selain berperanan mentransformasi mutu perkhidmatan awam supaya lebih cekap dan responsif.

“Insya-Allah pada tahun depan, Ombudsman Malaysia akan mula beroperasi setelah diluluskan di Parlimen. Sekarang ini, masih dalam peringkat pembuatan rang undang-undang.

“Ini merupakan satu langkah yang baik untuk mentransformasikan perkhidmatan awam, khususnya cara kita memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN