PETALING JAYA – Pelaksanaan inisiatif baucar buku kepada pelajar sekolah menengah dan institut pendidikan tinggi dijangka memberi manfaat kepada lebih dua juta pelajar bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelaksanaan inisiatif berkenaan.
“KPM menyambut baik pengumuman Perdana Menteri berkenaan pelaksanaan inisiatif baucar buku kepada pelajar sekolah menengah dan institut pendidikan tinggi yang dijangka akan memberi manfaat kepada lebih dua juta pelajar bawah KPM,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam membudayakan amalan membaca khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Budaya membaca perlu sentiasa diberi penekanan untuk membuka minda, membentuk sahsiah dan membangunkan masyarakat yang berilmu.
“Inisiatif ini juga dapat membuka minda dan meningkatkan ilmu pengetahuan dalam kalangan masyarakat terutamanya generasi muda,” katanya.
Terdahulu, Anwar mengumumkan pemberian Baucar Buku Madani bernilai RM100 akan diteruskan kepada pelajar sekolah menengah di bawah KPM dan mahasiswa institusi pengajian tinggi Kementerian Pendidikan Tinggi.
Bagaimanapun beliau menjelaskan, baucar berkenaan hanya melibatkan dua kategori berkenaan sahaja selepas mengambil kira kemampuan kewangan semasa negara. – KOSMO! ONLINE














