KUALA LUMPUR – Kembali aktif berlakon selepas 18 tahun hilang dari radar dunia dunia seni, bintang filem Sepi, Baizura Kahar hanya menerima watak yang bersesuaian dengan statusnya sebagai seorang ibu.
Baizura atau nama sebenar Nurbaizura Ahmad Kahar, 44, berkata setiap tawaran lakonan akan dibincang dan mengambil kira pandangan tiga anaknya sebelum memberi sebarang persetujuan kepada pihak poduksi.
“Alhamdulillah, tiga anak saya yang berusia 15, 12 dan sembilan tahun memberi respons positif dengan keputusan untuk kembali aktif berlakon.
“Sebelum menjayakan mana-mana watak, saya akan ambil kira perasaan mereka, selesa atau sebaliknya. Semua atas izin mereka.
“Kalau anak kata okey, barulah saya pertimbangkan untuk terima tawaran tersebut,” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi drama terbaharu, Isteri Ke-2 di sini, semalam.
Berkongsi tentang keputusannya untuk kembali aktif, lulusan Ijazah Kajian Media dan Komunikasi serta Seni Persembahan Universiti Malaya itu berkata perkara tersebut berlaku secara spontan.
Namun, Baizura memberitahu sebelum ini dia tetap aktif dalam kerjaya seni terutama di belakang tabir sebagai penulis skrip.
“Saya berhenti berlakon dahulu bukan disebabkan berkahwin, tetapi sebenarnya sudah habis belajar kemudian saya bekerja.
“Namun, akhirnya jiwa saya lebih ke arah penulisan skrip dan bertahan sampai sekarang.
“Cuma, pada awal tahun ini saya mula mendapat tawaran berlakon dalam drama Keluarga Iskandar 3 dan selepas ini Isteri Ke-2 untuk TV3 cuma agak kekok juga ketika kembali masuk ke set penggambaran,” ujarnya yang teruja melihat respons positif peminat.
Menerusi drama Isteri Ke-2 yang bakal ditayangkan bermula Julai depan, Baizura digandingkan dengan Zahiril Adzim dan Azira Shafinaz. – KOSMO! ONLINE














