PUTRAJAYA – Kegiatan sindiket pemerdagangan manusia dan pemalsuan dokumen yang didalangi seorang lelaki warga Nepal berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) baru-baru ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, suspek utama yang dikenali sebagai Mahendra Jung Shah atau atau MJ, 43, ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah malam pada 14 April lalu oleh pasukan khas operasi.
“Suspek berjaya diberkas selepas pasukan operasi memintas sebuah kenderaan jenis Nissan Sentra yang dinaikinya di Jalan Galloway di sini ketika dipercayai cuba melarikan diri.
“Semakan mendapati suspek yang juga pemegang pas ekspatriat sah itu dipercayai menjadi pengatur utama kegiatan berkenaan, selain pernah ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism (E8) Bukit Aman pada tahun 2016,” katanya di sidang media Operasi Penguatkuasaan JIM di sini, hari ini.
Tambahnya, semakan lanjut bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendapati keuntungan yang diraih sindiket ini dianggarkan mencecah sekitar RM100 juta dalam tempoh tujuh tahun.
“Modus operandi sindiket adalah dengan memproses kemasukan pekerja asing secara tidak sah sebelum menyediakan dokumen dan pas imigresen palsu bagi membolehkan mereka bekerja di negara ini.
“Setiap pekerja dikenakan bayaran antara RM5,000 hingga RM6,000,” katanya.
Katanya, pihak berkuasa telah merampas pelbagai dokumen imigresen yang diubah suai termasuk e-pass, pelekat keselamatan serta slip berkaitan yang dipercayai digunakan untuk tujuan pemalsuan.
“Selain itu, turut dirampas ialah 111 pasport pelbagai negara, 10 komputer riba, enam telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM3,950,” katanya.
Zakaria berkata, seramai sembilan individu berusia antara 26 hingga 61 tahun ditahan, terdiri daripada warga Nepal, India, Bangladesh, seorang lelaki tempatan serta seorang wanita warga Vietnam yang berstatus pemastautin tetap.
Beliau berkata, warga tempatan dan wanita warga Vietnam itu dipercayai bertindak sebagai pemilik serta pengarah syarikat yang terlibat dalam kegiatan sindiket berkenaan.
Kes disiasat mengikut undang-undang imigresen serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA). – KOSMO! ONLINE














