KUALA LUMPUR – Taktik licik sindiket dadah menjadikan kondominium sebagai stor simpanan dan pusat pembungkusan terbongkar dalam Op Langka, dengan rampasan melebihi RM13 juta.
Dalam operasi antara 9 hingga 12 April lalu itu, seramai 191 individu ditahan menerusi 231 beberapa siri serbuan di Kedah dan Perlis.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi digerakkan susulan kebimbangan peningkatan kes penyalahgunaan dan pengedaran dadah yang dibangkitkan Kementerian Dalam Negeri pada Mac lalu.
Katanya, tumpuan operasi melibatkan kawasan Langkawi, Kuala Kedah dan Perlis dengan semua tangkapan membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 termasuk Seksyen 39B.
“Kesemua suspek ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah termasuk kes berat,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Menurut beliau, hasil operasi itu membawa kepada tindakan susulan menerusi Op Conops pada 12 April, dengan tujuh individu termasuk warga asing diberkas dalam dua serbuan berasingan di Putrajaya dan Setapak.
“Rampasan melibatkan pelbagai jenis dadah termasuk bunga ganja seberat 170.74 kilogram dan ganja 7.04 kilogram dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM13.68 juta.
“Sindiket ini dipercayai aktif sejak Disember tahun lalu dan menggunakan unit kondominium di Lembah Klang sebagai lokasi penyimpanan serta pembungkusan sebelum diedarkan ke pasaran tempatan dan antarabangsa,” ujarnya.
Beliau berkata, pengedaran dalam negara dilakukan melalui perkhidmatan e-hailing dan kurier, manakala pasaran luar menggunakan keldai dadah dengan taktik menyembunyikan bahan terlarang dalam bagasi.
Tambah beliau, ujian saringan awal mendapati beberapa suspek positif dadah termasuk methamphetamine, THC dan benzo, selain sebahagian mereka mempunyai rekod jenayah lampau.
Kata Hussein, polis turut menyita aset termasuk sebuah kereta, barang kemas dan wang tunai bernilai RM385,000, menjadikan keseluruhan rampasan serta sitaan berjumlah RM14.07 juta. – KOSMO! ONLINE














