TAPAH – Barisan Nasional (BN) mendekati pengundi kelabu (atas pagar) bagi menarik sokongan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning berdasarkan kekuatan jentera selain sesi penerangan yang berkesan kepada mereka.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, setakat ini, pihaknya telah menemui ramai pengundi yang dikategorikan putih, kelabu dan hitam.
“Ini penting untuk kita dapat secara kasar berapa jumlah undi (jangkaan) untuk menjangka kedudukan dalam PRK DUN Ayer Kuning,” katanya di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Batu 3 Ayer Kuning di sini hari ini.
Katanya, pengundi kelabu mempunyai pengaruh signifikan dalam PRK DUN Ayer Kuning didekati melalui sesi penerangan yang sewajarnya kerana ada isu tertentu yang menganggu sokongan atau pemikiran mereka.
“Saya tidak suka bersyarah tetapi berdialong dan akan cuba untuk menjawab sebanyak mungkin soalan yang mana mereka sendiri ingin ketahui daripada kepimpinan parti.
“Kita mahu anak muda diberikan penerangan. Yang first time voter ini ramai sekarang automatik jadi pengundi umur 18 tahun sahaja.
“Mereka tidak pernah ada parti. Biasanya budak muda ingin kepastian sebelum memberi mandat kepada calon yang mereka sokong pada PRK nanti,” katanya. – KOSMO! ONLINE