KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamaruzaman diperintah membayar RM250,000 kepada veteran politik, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berhubung fitnah hutang pelaburan puluhan juta ringgit.
Hakim Mahkamah Tinggi, Roslan Mat Nor memutuskan demikian hari ini selepas membenarkan saman yang dikemukakan Abdul Kadir selaku plaintif terhadap Aliff Syukri.
Selain itu, mahkamah turut memerintahkan Aliff Syukri selaku defendan membayar kos sebanyak RM50,000.
“Defendan sama ada pegawai atau ejennya dihalang menerbitkan perkara yang diadukan atau apa-apa lain yang mempunyai kesan yang sama. Defendan juga sama ada melalui khidmat atau ejennya menghapuskan libel daripada semua akaun media sosial dalam tujuh hari daripada perintah ini,” kata Hakim Roslan.
Sepanjang perbicaraan Abdul Kadir diwakili peguam T. Dheenish, manakala Aliff Syukri diwakili peguam Mohd. Tajudin Abd Razak. Bagaimanapun dalam prosiding hari ini, Abdul Kadir dan Aliff Syukri tidak hadir dan diwakili peguam masing-masing.
Pada 6 September 2023, Abdul Kadir, 86, memfailkan saman mendakwa Aliff Syukri, 39, yang terlibat dalam industri hiburan dengan jumlah pengikut ramai di media sosial mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap plaintif di Instagram dan Facebook pada 2 Julai 2023.
Plaintif mendakwa kenyataan itu membawa maksud antaranya plaintif berhutang dengan defendan berjuta ringgit selain gambar plaintif yang diletakkan pada kenyataan itu mengundang komen negatif daripada pembaca.
Oleh itu, plaintif menuntut defendan membayar RM70 juta untuk libel (fitnah bertulis) dan ganti rugi yang dinilai oleh mahkamah selain perintah supaya defendan memberikan aku janji bertulis untuk tidak akan menyiarkan sebarang fitnah terhadap plaintif.
Selain itu, plaintif menuntut permohonan maaf tanpa syarat yang disiarkan di akaun media sosial defendan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah tersebut.
Sementara itu, Aliff Syukri menerusi pernyataan pembelaan mendakwa beliau membuat bayaran pelaburan RM30 juta bagi mematuhi perjanjian usahasama bertarikh 26 November 2018 yang melibatkan plaintif, defendan dan dua syarikat.
Dakwanya, pihak-pihak di dalam perjanjian usahasama gagal membuat pembayaran wang yang dilaburkan selain segala pelanggaran janji sedemikian termasuk aku janji yang diberikan plaintif kepadanya adalah di dalam pengetahuan plaintif sendiri. – KOSMO! ONLINE














