KUALA LUMPUR – Kegiatan seorang peniaga warga asing yang menjalankan perniagaan runcit dan restoran dengan menggajikan tiga warga asing tanpa permit sah terbongkar dalam operasi bersepadu di sekitar Brickfields, di sini malam tadi.
Menurut lelaki warga Bangladesh itu, dia menjalankan perniagaan selepas berkahwin dengan seorang wanita tempatan dan memperoleh kira-kira RM55,000 sebulan.
Wartawan Kosmo! yang menyertai serbuan bermula pukul 9 hingga 11 malam itu, mendapati majikan tersebut turut cuba memperdaya pihak berkuasa dengan menyatakan pekerja asing yang diupah hanya membantu secara sementara.
“Mereka tolong sahaja, bukan kerja tetap. Saya bayar mereka sebanyak RM45 hingga RM70 sehari,” katanya kepada Kosmo! di sini, semalam.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, lelaki berusia 47 tahun itu antara 17 individu yang ditahan susulan pemeriksaan membabitkan empat premis perniagaan.
“Individu ditahan terdiri daripada 13 lelaki Bangladesh dan dua lelaki Pakistan termasuk seorang majikan warga asing dan dua majikan tempatan yang merupakan pasangan suami isteri.
“Tindakan ke atas pekerja, majikan dan pelanggan itu membabitkan kesalahan tiada dokumen pengenalan diri yang sah, tinggal lebih masa, menyalahgunakan syarat pas sah serta melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau operasi yang dijalankan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Sehubungan itu, Wan Mohammed Saupee berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c), Seksyen 6(1)(c) dan 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen.
“Tiga Borang Imigresen 29 (Saman kepada Saksi) turut dikeluarkan kepada majikan sepanjang tempoh pemeriksaan.
“Kesemua individu berusia 20 hingga 50 tahun yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut ,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE