PUTRAJAYA- Aduan orang ramai berhubung pembelian minyak masak peket oleh warga asing dilaporkan menurun dengan ketara selepas penguatkuasaan larangan tersebut dilaksanakan sepenuhnya bermula 1 Mac lalu.
Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, trend penurunan itu menunjukkan keberkesanan langkah penguatkuasaan yang diperkenalkan kerajaan.
Beliau berkata, data aduan yang diterima pihaknya mendapati maklumat mengenai pembelian minyak masak peket oleh warga asing semakin berkurangan sejak pelaksanaan peraturan tersebut.
“Apabila kita mula menguatkuasakan sepenuhnya larangan ini, aduan daripada orang ramai berkaitan perkara itu mula menurun dengan mendadak,” katanya pada sidang akhbar pencapaian Ops Tiris di sini, hari ini.
Katanya, setakat ini hanya tiga kes direkodkan melibatkan pelanggaran peraturan tersebut di seluruh negara.
Katanya, dua daripada kes itu berlaku di Kedah, manakala satu lagi dikesan di Selangor.
Azman berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima aduan diterima di negeri-negeri lain.
Menurutnya, perkembangan positif itu menunjukkan tahap pematuhan yang baik dalam kalangan pihak berkaitan termasuk peruncit.
“Penguatkuasaan larangan tersebut adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan subsidi minyak masak peket hanya dinikmati rakyat tempatan.
“Langkah itu juga bertujuan mengelakkan ketirisan subsidi yang boleh menjejaskan bekalan kepada pengguna tempatan.
“Ini adalah antara pendekatan yang kita laksanakan bagi memastikan kesinambungan bekalan dan hak subsidi rakyat terus terpelihara,” katanya. – KOSMO! ONLINE














