SHAH ALAM – Banjir yang sering melanda sekitar Taman Sri Muda membuatkan ramai penduduk serik membeli barangan baru bagi mengelakkan kerugian kepada mereka.
Malah mereka juga mahu solusi terbaik dilakukan kerajaan negeri meskipun faktor hujan berterusan dan air pasang menjadi penyebab kepada bencana banjir kilat itu.
Ini selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 5 Disember tahun lalu agar jangan digunakan alasan kerana perubahan iklim atau tahap penurunan hujan tinggi dan luar biasa akibat act of God (kuasa Tuhan).
Seorang penduduk, Y. Yogavathani, 43, berkata, sudah empat tahun dia melalui banjir dengan keadaan kelmarin apabila air naik hampir mencecah paras pinggang.
Katanya, sepanjang tempoh tersebut juga dia mengalami kerugian ribuan ringgit termasuk bah besar pada tahun 2021.
“Kalau beli barang baharu pun rugi, sebab nanti akan banjir lagi. Setiap kali bencana ambil masa lima jam bersihkan rumah.
“Barang-barang seperti perabot dan peti ais terpaksa dicuci sebelum dijemur,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Yogavathani menambah, kediaman yang didudukinya adalah rumah sewa dengan kadar RM800 sebulan bersama suami dan tiga orang anak.
“Kalau hujan berterusan dalam tempoh tiga jam mesti akan banjir. Bezanya sama ada tinggi atau rendah air akan masuk dalam rumah,” ujarnya.
Bagi Mohd. Zunaidi Mat Daud, 41, dia tidak sempat mengeluarkan sebuah kereta jenis Suzuki Swift dan dua buah motosikal daripada kediaman semasa banjir kilat itu ekoran dia dan isteri bekerja pada waktu malam.
“Kecewa sebab terpaksa hadap banjir ini berulang kali. Musibah memanglah musibah, namun patut ada tindakan konkrit dibuat pihak bertanggungjawab dalam mengatasi masalah ini.
“Sultan Selangor sudah berulang kali bertitah berhubung perkara ini. Memang penat sebab tiap kali banjir, terpaksa cuci rumah,” tegasnya.
Menurut seorang suri rumah, A. Ravanama, 50, dia langsung tidak menyangka banjir akan kembali melanda meskipun rumah pam telah dinaik taraf sebelum ini.
“Selalunya, air berada di atas jalan sahaja, namun kali ini masuk ke dalam rumah para paras atas lutut. Ini kali kedua selepas bah 2021.
“Itu yang terkejut sebab sangka lepas rumah pam di sini upgrade tiada lagi masalah ini, namun meleset pula,” katanya.
Dalam pada itu, tinjauan mebanjir kilat di Taman Sri Muda surut sepenuhnya semalam dengan semua laluan boleh dilalui seperti biasa selepas hujan lebat tiga jam kelmarin.














