“ANDAI dikenang semula pencapaian dan apa yang diberikan Tuhan ketika ini, pasti ia bagai satu mimpi dan sukar untuk saya percaya.
“Manakan tidak, macam-macam kerja pernah saya lakukan tetapi ada sahaja rintangan dan dugaan tersendiri,” ungkap Wan Nur Batini Wan Idris kepada K-Wanita sekali gus memulakan bicara.
Menurut anak jati Kota Bharu, Kelantan berusia 40 tahun ini, sebelum dia berjaya membuka perusahaan kedai emas miliknya beberapa tahun sebelum ini, pelbagai kerja dan perit jerih pernah dilaluinya.
“Sebelum ini saya pernah menjadi ejen produk kecantikan dengan satu syarikat bertaraf antarabangsa selama hampir 12 tahun dengan pencapaian komisen bulanan sehingga RM50,000 sebulan.
“Ketika itu memang mewah, tetapi bila difikirkan semula perniagaan tersebut tidak boleh diwariskan.
“Maka setelah berfikir masak-masak, saya memilih untuk berhenti menjual produk orang dan cuba mulakan perniagaan sendiri berbekalkan sebahagian modal yang ada,” katanya.

Menyorot kembali permulaan perjalanan kerjayanya sebagai ejen jualan kecantikan, semuanya berlaku semasa dia hidup ‘merempat’ di stesen minyak usai berpisah dengan bekas suami pada tahun 2010 sekali gus telah mempertemukannya dengan seorang wanita yang membantunya.
“Saya pernah tidur di sebuah stesen minyak selama enam bulan.
“Ketika itu saya baru lepas berpisah dengan bekas suami, sampailah satu hari duit hanya tinggal RM1 dalam poket.
“Sepanjang enam bulan itu saya tidur dan hanya tinggal dalam kereta.
“Saya naik turun macam-macam pejabat dan kedai untuk cari kerja tetapi tak dapat.
“Selepas enam bulan, ibu saya ada hubungi kerana dia baru tahu yang saya sudah bercerai dan tinggal di stesen minyak. Hari yang sama juga ibu masukkan RM1,500 ke akaun bank saya hasil dia gadai barang kemas hantaran kahwin miliknya.
“Dalam masa sama, saya dipertemukan dengan seorang wanita bernama Robiah Huri dan dia ajak saya jadi ejen kosmetik.
“Kerana tiada wang untuk sertai, dia sanggup pinjamkan saya produknya untuk dijadikan sampling.
“Dari situ saya sasarkan dapat jual satu hari satu produk sebab dapat beli nasi untuk dimakan. Dalam tak sedar, 12 tahun saya berniaga produk tersebut sehingga pernah terima komisen lumayan,” katanya.
Tutup cerita sayu tidur dalam kereta, Wan Nur Batini memberitahu, usai berhenti menjual produk kosmetik, dia memulakan perniagaan barangan kelengkapan rumah seperti periuk belanga, perhiasan rumah dan lain-lain.
Pun begitu, nasib tidak menyebelahinya dan perniagaan itu hanya mampu bertahan selama dua tahun.
Jelasnya, syarikat dan perniagaan tersebut tidak mampu bertahan impak dari perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sebelum ini dan kurangnya ilmu pengurusan bisnes dalam dirinya.
“Selepas hampir setahun di rumah dan tidak berbuat apa-apa, saya dan suami (pernikahan baharu) buat keputusan untuk menjual produk hiasan wanita khususnya emas sadur (pateri).
“Kenapa kami berani cuba menjalankan perniagaan emas sadur adalah kerana suami seorang tukang emas.
“Berbekalkan pengalaman dia (suami) dalam penghasilan barang kemas, ditambah pula dengan saya yang minat dalam pengurusan, jualan dan pemasaran, maka tertubuhnya perniagaan diberi nama Emas Sadur Batini pada 2022,” katanya.

Pun begitu tegas anak sulung daripada sembilan beradik ini, pelbagai cabaran ditempuhinya ketika mengemudi perusahaan emas tersebut terutama pada saat awal bertapak.
“Cabaran dalam bisnes emas yang kami suami isteri hadapi tidak lain tidak bukan adalah dari segi kewangan.
“Macam mana nak rolling (pusing) bisnes dengan hanya bermodalkan RM2,000 wang yang kami ada ketika awal menubuhkan perniagaan.
“Selepas tiga bulan mulakan bisnes, kami mula rasa kekangan kewangan itu.
“Permintaan tinggi tetapi kami tak mampu nak sedia atau bekal kepada pelanggan.
“Maka dengan itu, sekali lagi ujian buat kami bermula. Saya dan suami terpaksa meminta bantuan dari segi kewangan kepada ayah dan beberapa kenalan yang sudi membantu.
“Hasil pertolongan, kami mendapat sedikit suntikan kewangan sebanyak RM23,000 sebagai rolling pada bulan puasa 2022 kerana ketika musim itulah permintaan mendadak naik,” katanya.
Ujar Wan Nur Batini yang merupakan pengasas dan ketua pegawai eksekutif syarikat, dia bersyukur hasil suntikan modal dan bantuan itu mereka mula berkembang.
“Alhamdulillah dari situ kami terus berkembang hingga kini dan mempunyai stok emas yang bernilai hampir setengah juta.
“Saya berpegang kepada satu ayat dari mentor bisnes saya iaitu biar syarikat kaya bukan owner (pemilik) bisnes yang kaya.
“Kebiasaannya bila kita nampak sales (jualan) banyak, maka mudah kelabu mata. Duit syarikat jadi duit peribadi.
“Tetapi kali ini saya betul-betul disiplin dalam pengurusan kewangan supaya pisang tidak berbuah dua kali,” katanya.
Selepas tiga tahun beroperasi, Wan Nur Batini bersyukur dan mampu tersenyum kerana penat lelah dan usaha tanpa jemunya sebelum ini membuahkan hasil.
Jelasnya, memulakan sebuah perniagaan tidak susah, tetapi untuk membangunkan dan kekal dalam industri bukan satu kerja yang mudah.
Pencapaian hari ini bukan dibina sehari dua tetapi daripada pengalaman jatuh bangun bisnes terdahulu.
Kini, perniagaannya yang berlokasi di Kota Bharu itu semakin maju dengan dibantu hampir 30 kakitangan dalam kalangan penduduk tempatan.
Dia juga menyasarkan pembukaan cawangan baharu dan penubuhan beberapa unit khas bagi melancarkan operasi bagi tahun berikutnya.
Berkongsi sedikit keunikan produknya, Emas Sadur Batini menjanjikan rekaan produk yang sentiasa mengikut arus dan cita rasa terkini di pasaran serta dibuat dengan penuh teliti, halus dan kemas.
“Ia dihasilkan tukang emas yang profesional dan mempunyai pengalaman dalam bidang pembuatan barangan kemas dalam industri.
“Setiap ukiran juga dibuat secara handmade oleh tukang emas dan bukan memakai acuan mesin,” katanya.














